KUALA LUMPUR – Orang ramai disarankan untuk menggunakan bekalan air secara berhemat dan tidak membazir bagi mengelakkan gangguan dan tekanan rendah pada cuti perayaan Aidilfitri yang bermula Rabu ini.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, gangguan bekalan air sering berlaku di kawasan luar bandar apabila warga kota pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.
“Keadaan ini akan menyebabkan permintaan bekalan air di kawasan luar bandar meningkat mendadak berbanding kebiasaan kerana penggunaan air secara purata adalah sebanyak 201 liter sehari bagi seorang, berbanding 180 liter sehari seorang pada musim perayaan.
“Sistem bekalan air ketika ini seperti loji rawatan air, paip dan tangki agihan di kawasan berkenaan tidak direka untuk memenuhi permintaan tinggi yang berlaku dalam tempoh dua minggu musim perayaan dalam setahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, pengguna disarankan untuk menyimpan air dengan secukupnya sebelum tiba musim perayaan bagi memastikan bekalan air mencukupi.
Tambahnya, pihaknya juga meminta orang ramai yang ternampak paip bocor atau paip pecah di mana-mana kawasan untuk melaporkan segera kepada syarikat air di negeri masing-masing.
Santiago turut mengarahkan semua syarikat air negeri mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan air mencukupi dan berterusan sepanjang musim perayaan.
“Kami telah mengarahkan syarikat air negeri untuk membuka bilik gerakan 24 jam bagi memantau keadaan bekalan air sepanjang tempoh musim perayaan.
“Ini termasuk juga memantau paras empangan, sungai, muka sauk loji dan paras air di tangki simpanan utama di sistem agihan sebagai langkah untuk mengelak atau mengurangkan gangguan bekalan air,” katanya.
Ujarnya, tangki statik perlu ditempatkan di kawasan kritikal atau dikenal pasti sering atau berkemungkinan menghadapi kekurangan bekalan air semasa waktu puncak selain bersedia untuk menghantar lori tangki ke kawasan menghadapi gangguan bekalan air.
“Syarikat air juga perlu bersiap-siaga dengan jentera, kenderaan, alat kelengkapan dan tenaga kerja bagi menjalankan kerja pembaikan dengan segera jika berlaku kerosakan loji atau paip pecah serta merancang kerja penyenggaraan lebih awal,” katanya.
Pengguna boleh melayari laman web atau memuat turun aplikasi telefon pintar syarikat air negeri untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air. – UTUSAN ONLINE











