Saingan di Buriram pasti sengit - Utusan Malaysia

Saingan di Buriram pasti sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BURIRAM, Thailand,30 Mei – Selepas berehat hampir sebulan, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 kembali menggegar gelanggang minggu ini.

Litar Antarabangsa Chang di Buriram Thailand akan menjadi destinasi untuk Pusingan 3 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei hingga 2 Jun ini.

Pusingan 3 ini pasti menjadi medan terhebat buat semua pelumba kerana mereka sudah berehat hampir sebulan selepas aksi Pusingan 2 di The Bend Motorsports Park, Australia awal April lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tempoh sebulan itu pastinya memberi ruang kepada semua pelumba untuk kembali berada pada tahap kecergasan terbaik.

Justeru,kehadiran mereka pada saingan Pusingan 3 ini bakal berbeza kerana para pelumba sudah bersedia dari segi kekuatan mental dan fizikal.

Malah, jaguh-jaguh yang mengalami kecederaan pada pusingan lalu, juga sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Situasi tersebut akan menjadikan saingan di Buriram minggu ini lebih menarik, mencabar dan ‘panas’, sehangat bahang yang melanda daerah Buriram minggu ini.

Tumpuan minggu ini bakal terarah kepada saingan bagi kelas ASB1000 yang baharu disenaraikan dalam ARRC mulai tahun ini.

Atas kertas, memang tiada pelumba pilihan tetapi beberapa pelumba berpengalaman yang pernah beraksi dalam kelas perdana ini di kejuaraan lain sebelum ini sudah pasti mencuri tumpuan.

Sebab itulah pada dua pusingan terdahulu, iaitu di Litar Sepang (8-10 Mac) dan Australia (awal April), tiada pelumba yang mendominasi kategori ASB1000 ini.

Setakat ini, empat pelumba berbeza mencatat nama sebagai juara yang menyaksikan Md ZaqhwanZaidi (Honda Asia Dream Racing with SHOWA) menguasai Perlumbaan 2 dan pelumba pasukan ONE XOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman, menjuarai Perlumbaan 2 di Sepang.

Di Australia pula, pelumba tuan rumah menguasai saingan dengan Bryan Staring (Kawasaki Thailand Racing team) memenangi Perlumbaan 1 di ikuti Broc Parkes (Yamaha Racing Team Asean) menjuarai Perlumbaan 2.

Bagi Zaqhwan, walaupun sedang menjalani ibadah puasa, tetapi pasukannya tetap menjalankan latihan bagi mengekalkan tahap kecergasan.

Sepanjang bulan Ramadan ini, tumpuan mereka adalah kepada latihan fizikal dan mental agar kekal fokus dengan saingan yang bakal dihadapi.

“Kami lebih banyak melakukan latihan untuk menguatkan mental dan fizikal manakala kerja-kerja penyelarasan untuk jentera diserahkan kepada krew pasukan,” jelas Zaqhwan.

Sasarannya pada Pusingan 3 kali ini adalah untuk menjejak kaki di podium kemenangan dan ia bukan sesuatu yang mustahil jika jenteranya mendapat pelarasan yang baik pada hari perlumbaan nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini