KUALA LUMPUR 30 Mei – Polis Diraja Malaysia yakin akan dapat membawa pulang ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bagaimanapun tidak memberikan sebarang tempoh masa tepat bila ahli perniagaan yang berkait rapat dengan kes penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan dibawa pulang.
“Insya-Allah, saya yakin kita akan dapat bawa dia pulang dalam masa terdekat pun boleh dalam masa terjauh pun boleh… tapi Insya-Allah dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di Bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail, Damansara di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid selepas ditanya mengenai desakan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang mahu beliau campur tangan serta menyiasat penderaan tahanan polis yang berlaku Klang Selatan baru-baru ini meminta pihak yang mempunyai maklumat mengenai kekejaman polis supaya tampil menyalurkannya serta bersedia membantu siasatan sehingga selesai.
“Kalau ada dakwaan kekejaman polis, kita pastilah akan memanggil individu yang buat aduan itu untuk diambil keterangan bukan untuk tangkap, jadi mereka tak perlu takut.
“Apabila diminta utk jelaskan, jelaskan, jangan tembak hentam keromo sahaja, sebagai contoh satu kes di Sentul, tuduhan dilemparkan terhadap pihak polis kemudian media laporkan tuduhan tersebut dan polis digambarkan sebagai amat kejam namun bila disiasat kita dapati ada unsur-unsur dakwaan tidak betul dan berniat jahat, jadi kita cuba cari dia (pengadu) dia dah lari pula,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











