PUTRAJAYA 30 Mei – Dakwaan terdapat 100,000 orang pemegang kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) berasal dari China telah dianugerahkan kewarganegaraan oleh Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 10 Mei tahun lalu hingga 15 Mei lalu, terdapat hanya 37 orang individu dari China yang dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan dan hak eksklusif yang tidak ditawarkan serta diberikan dengan sewenang-wenangnya.

“Permohonan kewarganegaraan hanya boleh dikemukakan setelah seseorang warga asing memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 [LN82/1964] serta perundangan-perundangan lain yang berkuat kuasa seperti peraturan imigresen.
“Setiap pertimbangan dibuat dengan teliti kerana ia akan menyebabkan warga asing tersebut menikmati keistimewaan dan hak yang sebelum ini hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia sahaja,” katanya di sini hari ini.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman hari ini dilaporkan telah mendakwa terdapat 100,000 orang pemegang MyPR yang berasal dari China telah dianugerahkan kewarganegaraan oleh Kerajaan di bawah PH.
Sementara itu, kenyataan itu menambah, adalah ditegaskan agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan dakwaan tidak berasas yang boleh mengelirukan orang awam serta menggugat keharmonian negara.
“Kementerian ini sentiasa komited dalam memastikan semua penganugerahan kewarganegaraan adalah teratur dan berasaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











