KUALA LUMPUR 29 Mei – Pengurus PDRM FA, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar bersedia bertanding merebut jawatan ahli jawatankuasa eksekutif (exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 13 Julai ini.
Kamarul antara enam calon yang diumumkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Subkhiddin Mohd Salleh pada November tahun lalu.
Jelasnya, sekiranya dipilih, perkara pertama sudah pasti mahu membantu bola sepak negara berada di tahap yang lebih baik dan mencapai pelan F30 yang telah dilaksanakan FAM.
“Terlebih dulu saya ucapkan terima kasih kepada ahli gabungan FAM yang mencalonkan saya. Saya sudah dihubungi sekreteriat FAM untuk mengesahkan pencalonan saya.
“Saya akan hantar surat jawapan kepada FAM dalam tempoh terdekat ini namun saya boleh sahkan yang saya akan bertanding.
“Mereka (calon lain) adalah rakan seperjuangan saya dalam bola sepak. Jika terpilih untuk mengisi jawatan itu, saya akan berikan khidmat terbaik kepada bola sepak Malaysia.
“Kami akan bertanding secara sihat dan saya serah sepenuhnya kepada ahli gabungan untuk buat pilihan.
“Saya harap saya akan dapat sumbangkan sesuatu kepada bola sepak Malaysia untuk merealisasikan pelan F:30 yang dibuat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa PDRM FA, semalam.
Lima calon lagi yang dicalonkan ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Khamal Idris Ali; Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Dr Amar Pritpal Abdullah, exco Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar; Exco Persatuan Bola Sepak Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor; dan Timbalan Presiden 2 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Marzuki Sulong. – UTUSAN ONLINE











