KUALA LUMPUR 29 Mei – Operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang dilaporkan terjatuh di Sungai Baram, Marudi dekat sini semalam akan diperluaskan ke kawasan arus deras dan air berpusar.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, SAR menggunakan kaedah pencarian di permukaan itu juga akan diperluaskan hingga jarak 18 kilometer dari lokasi mangsa, Mohd Farid Adenan, 16, dilaporkan terjatuh.
“Lokasi pencarian kini tertumpu di kawasan lubuk dan tanjung Kampung Narum, Lubuk Naga dan pangkalan feri dekat sini dengan radius pencarian 18 km ke hulu dan hilir dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh ke sungai.
“Operasi tersebut akan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung dengan operasi bermula kira-kira pukul 6 pagi ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa dilaporkan terjatuh ke sungai ketika memancing.
Berikutan itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Sarawak dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.49 petang semalam.-UTUSAN ONLINE











