Wirdina santuni penghuni Rumah Perlindungan Sinar Kasih - Utusan Malaysia

Wirdina santuni penghuni Rumah Perlindungan Sinar Kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR 29 Mei-Sempena Ramadan dan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, pelbagai pihak tampil untuk membantu golongan sasar yang memerlukan.

Bagi Pertubuhan Wanita Gerakan Dinamik (Wirdina) mereka memilih penghuni Rumah Perlindungan Sinar Kasih Bukit Beruntung untuk disantuni dalam Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan yang telah diadakan baru-baru ini.

Pengerusinya, Ina Aman berkata, program ini merupakan salah satu program khidmat masyarakat pertubuhan tersebut yang mensasarkan golongan kurang berkemampuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada kali ini kita memilih para penghuni Rumah Perlindungan Sinar Kasih untuk diraikan. Kita berharap usaha ini sedikit sebanyak akan dapat menceriakan mereka pada bulan Ramadan ini.

“Apatah lagi dengan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, kita berharap sedikit sumbangan yang dihulurkan dapat membantu mereka untuk membuat persiapan menyambut hari raya nanti,” katanya pada majlis tersebut.

Yang turut hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhamad, Ahli Majlis Zon 21, Khairul Azhari Saut serta Pengerusi Persatuan Pengasih Selangor, Jaafar Daud.

Sementara itu, Saifuddin ketika ditemui memuji usaha Wirdina dan berharap ia akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Usaha ini harus dipuji kerana ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang sentiasa meletakkan agenda kebajikan rakyat Selangor sebagai salah satu perkara utama. Jadi dengan adanya pertubuhan bukan kerajaan seperti Wirdina yang aktif menyantuni mereka yang memerlukan ia sewajarnya disokong dan diberikan penghargaan,” katanya.

Bagi Khairul Azhari pula, beliau amat menghargai inisiatif tersebut dan sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak untuk melaksanakan sebarang aktiviti sosial di Zon 21.

“Saya selaku Ahli Majlis Zon 21 amat-amat mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang sudi turun padang menyantuni penduduk di kawasan ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Wirdina kerana memilih mereka yang berada di Zon 21 untuk dibantu kali ini,” ujar beliau.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini