KUALA LUMPUR 29 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan mesyuarat khas bersama wakil negeri bagi membincangkan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini dalam tempoh terdekat.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, resolusi kepada mesyuarat itu akan dikemukakan kepada kabinet untuk dibentangkan di Parlimen sebagai usaha kerajaan bagi membendung secara serius isu PATI yang membelenggu negara sejak sekian lama.
“Selepas Hari Raya Aidilfitri kita akan berbincang dengan agensi keselamatan yang lain bagi mencari solusi membabitkan isu ini secara holistik.
“Tidak ketinggalan, kita juga akan minta kerjasama daripada ketua kampung untuk membanteras isu ini bersama,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membanteras PATI di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.
Turut Hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Dalam operasi bersepadu itu, JIM menjalankan pemeriksaan ke premis di sekitar Pasar Chow Kit dan Kampung Baru bermula pukul 9.15 malam.
Operasi bersepadu itu dianggotai sebanyak 190 orang pegawai JIM termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – UTUSAN ONLINE











