Israilov gagal pikat UiTM FC - Utusan Malaysia

Israilov gagal pikat UiTM FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei – Tidak memenuhi kriteria yang dimahukan menjadi faktor utama pemain import dari Kyrgyzstan, Akhlidin Israilov digugurkan daripada skuad UiTM FC.

Walaupun baharu menyertai pasukan itu pada awal bulan ini bagi jendela perpindahan kedua, namun pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria membuat keputusan menggugurkan pemain tersebut ekoran tidak memenuhi corak permainan yang dimahukan.

“Kebanyakannya pengambilan pemain import dilakukan berdasarkan pemerhatian melalui rakaman video sahaja tanpa melihat secara fizikal pemain berkenaan bermain, saya sebenarnya tidak minat dengan kaedah ini tetapi terpaksa mengikut jua.
“Bila tidak cantik dan menepati kehendak permainan dalam pasukan, kita terpaksa tukar dan keputusan ini diambil atas persetujuan bersama, datang dengan baik dan kita lepaskan dengan baik,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan itu, menyaksikan Israilov hanya berkesempatan beraksi dalam tiga perlawanan ketika skuad The Lion Troops menentang UKM FC, Sarawak dan Selangor United dalam saingan Liga Perdana.

Bagaimanapun, UiTM sudah menemui pengganti posisi yang ditinggalkan apabila hanya menunggu kelulusan laporan perubatan sebelum pemain import dari Korea Selatan diumumkan secara rasmi.

“Pemain ini telah tiba di Shah Alam dan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum didaftarkan, berumur 25 tahun dan pernah beraksi bersama skuad bawah 23 tahun.

“Kami harap kemasukan pemain import baharu ini akan meningkatkan lagi tahap permainan pasukan dalam mengharungi baki perlawanan di Liga Perdana,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini