KUALA LUMPUR 28 Mei – Perdana Menteri menganggap tindakan Dr. Maszlee Malik mengarahkan pemakaian kasut sekolah berwarna hitam di semua sekolah kerajaan sebagai kesilapan kecil.
Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walau bagaimanapun kesilapan itu bukanlah sebab untuk beliau memecat Maszlee daripada terus menjadi Menteri Pendidikan.
“Saya tak nampak apa-apa masalah dengan Maszlee, cuma beliau suruh tukar kasut warna hitam sahaja, yang lain semua okay.
“Ya (patut kekal) sebab beliau cakap sikit sahaja mengenai kaum tak bermakna rasis, dalam parti kita ramai cakap pasal perkauman juga,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bangunan Yayasan Selangor di sini hari ini.
Baru-baru ini, Maszlee berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi perlu membangkitkan juga mengenai isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.
“Kalau kita nak ubah (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan peluang pekerjaan kepada Bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin,” katanya.
Kenyataan Maszlee itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy. – UTUSAN ONLINE











