Singgah Sahur Kelab Mutiara rai pekerja kilang percetakan akhbar, badan beruniform - Utusan Malaysia

Singgah Sahur Kelab Mutiara rai pekerja kilang percetakan akhbar, badan beruniform

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 28 Mei – Buat tahun kedua berturut-turut, Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Kelab Mutiara) dengan kerjasama Nasmir Holdings Sdn. Bhd. (Nasmir Holdings) meneruskan program Singgah Sahur Mutiara bagi meraikan pekerja-pekerja kilang percetakan akhbar di negeri ini.

Namun, program tahun ini yang berlangsung malam tadi lebih menarik apabila turut mendapat sokongan Hotel The Light Seberang Jaya yang menyumbang sebanyak 120 pek nasi beriyani.

Menurut Pengarah Projek Singgah Sahur Mutiara 2019, Norul Akma Mohd. Zain, program itu turut meraikan petugas serta kakitangan badan beruniform dan hospital yang bekerja syif malam dengan memberi sumbangan makanan untuk bersahur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sama seperti tahun lalu, Nasmir Holdings menyumbang sebanyak 150 pek makanan dan minuman untuk bersahur yang berupa nasi kandar dan air mineral.

“Jadi, secara keseluruhannya kita mengedarkan hampir 300 pek makanan kepada anggota-anggota polis dan bomba, kakitangan hospital serta pekerja kilang percetakan surat khabar sebagai juadah untuk mereka bersahur.

“Saya mewakili Kelab Mutiara mengucapkan terima kasih kepada Nasmir Holdings dan Hotel The Light atas sumbangan mereka sekali gus membolehkan kami meneruskan dan menjayakan program ini sekali lagi,” katanya kepada pemberita selepas program itu di sini malam tadi.

Dalam program itu, seramai 20 ahli Kelab Mutiara berkonvoi menaiki sebanyak 10 buah kereta bersama-sama Pengarah Urusan Nasmir Holdings, Datuk Khadar Shah Abd. Razak serta wakil Hotel The Light menuju ke lima lokasi terpilih bagi mengagihkan sajian sahur bermula pukul 11.30 malam.

Lokasi itu bermula di Kilang Percetakan Ultimate Print Sdn. Bhd.; Loji Percetakan Utusan Melayu Seberang Perai; Hospital Seberang Jaya; Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah sebelum berakhir di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda.

Peserta program itu turut bersahur bersama pekerja dan pengendali mesin cetak di Kilang Percetakan Ultimate Print Sdn. Bhd. di Seberang Perai selain berkesempatan melihat proses percetakan surat khabar di loji terbabit.

Sementara itu, Khadar Shah berkata, beliau berbesar hati dapat terlibat bersama-sama Kelab Mutiara mendekati dan menyumbang juadah sahur kepada pekerja yang perlu bertugas pada syif malam selain melihat sendiri proses percetakan surat khabar.

Terdahulu, ahli-ahli Kelab Mutiara bersama Pengurus Besar Hotel The Light, K. Rajakumar berkumpul di hotel berkenaan bagi membungkus 120 pek nasi beriyani.

Rajakumar berkata, ini kali pertama pihaknya bekerjasama dengan pihak media untuk menjayakan program itu dan berharap dapat bekerjasama dalam pelbagai program pada masa depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini