'Beri saya buat kerja dahulu' - Utusan Malaysia

‘Beri saya buat kerja dahulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mei – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau perlu melaksanakan pelbagai tugas yang telah diamanahkan kepadanya sebelum bersedia menduduki jawatan Perdana Menteri.

Jelas Anwar, beliau kini sedang menjaga hubungannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain memastikan hubungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan baik sebelum diberikan kepercayaan memimpin negara.

“Beri saya buat kerja saya dahululah, saya akan jaga hubungan saya dengan Perdana Menteri dan parti supaya sentiasa baik. Kita ada konsensus, kadang-kadang bincang isu-isu penting dengan Perdana Menteri, seperti semalam bincang konflik Amerika Syarikat dan Iran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi nak berlatih apa lagi? ini semua adalah amanah, sampai masa kerja, kena kerjalah, jadi ahli Parlimen, ahli Parlimenlah, jadi banduan, banduanlah. Apa yang diamanahkan kalau ada kepercayaan, kita cuba buat sebaik mungkin. Ia bukan kerja seorang tapi berpasukan, dalam kerajaan PH, dasarnya lebih kurang sama,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjawab pertanyaan pemberita sama ada sudah bersedia untuk menjadi Perdana Menteri kelapan bagi mengambil alih tugas daripada Dr. Mahathir.

Sementara itu, Anwar menolak dakwaan beberapa pihak kononnya pilihan raya umum mengejut akan berlaku dalam masa terdekat ekoran konflik dalaman yang berlaku di dalam PH.

“Kenapa kita perlu pilihan raya yang baharu? baru setahun, kita ada mandat dan majoriti. Pakatan kita kukuh, semuanya bersama, tiada sebab untuk ada (pilihan raya umum),” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini