KOTA BHARU 28 Mei – Seorang lelaki panik dan lari lintang-pukang sehingga tertinggal telefon pintarnya gara-gara mengelak daripada ditangkap penguat kuasa yang menjalankan Op Tidak Sopan di Jalan Zainal Abidin, di sini hari ini.
Selain tidak sempat membawa telefon jenama Samsung tersebut, lelaki berusia 50-an itu yang disyaki ponteng puasa turut meninggalkan segelas teh ‘o’ panas yang belum sempat diminum serta sekotak rokok selepas menikmati nasi bungkus kira-kira pukul 12.30 tengah hari di luar rumah yang juga sebuah ‘port’ judi.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik), Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, lelaki itu yang sedang berbual dengan beberapa lagi rakannya terus melarikan diri dan gagal ditangkap.

“Kita telah mengambil beberapa bahan bukti yang ditinggalkan suspek dan memberi nasihat kepada pemilik rumah berbangsa Tionghua itu agar tidak membenarkan orang Islam masuk ke tempatnya.
“Pihak kami juga menerima laporan tempat ini dipercayai menjalankan aktiviti perjudian dan khidmat mengurut dan saya sempat menasihatkan pemiliknya supaya segera menghentikan aktiviti mereka,”katanya selepas mengetuai Op Tidak Sopan tersebut, di sini hari ini.
Operasi bersepadu itu disertai 70 pegawai daripada pelbagai agensi termasuklah Jheaik, Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI).
Sementara itu, Mohd. Fadzuli berkata, operasi bersepadu tersebut bertujuan untuk mencegah perbuatan tidak sopan di bulan Ramadan termasuklah tidak berpuasa dan berpakaian tidak menutup aurat.
Beliau berkata, individu tidak berpuasa boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26, Enakmen Kanun Jenayah Syariah No 2 1985 negeri Kelantan yang memperuntukkan hukuman denda RM 500 atau penjara tiga bulan dan bagi kesalahan kali kedua RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.
“Ini adalah operasi bersepadu kedua yang kita jalankan secara besar-besaran bersama agensi lain di bulan Ramadan ini selepas operasi pertama pada 12 Mei lalu,” katanya.
Dalam operasi yang bermula pukul 11.00 pagi itu, makanan yang dijual sebuah premis di Telipot juga telah dirampas oleh pihak MPKB-BRI kerana beroperasi lebih awal berbanding waktu ditetapkan pada bulan Ramadan.
Sementara itu, Mohd. Fadzuli berkata, sehingga kini sebanyak 18 kes jenayah syariah termasuk khalwat, makan di siang hari, perbuatan dan pakaian tidak sopan telah direkodkan sepanjang bulan Ramadan dan kesemua kes tersebut sedang dalam proses tindakan susulan. – UTUSAN ONLINE











