KUALA LUMPUR 28 Mei – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan satu penjelasan perlu diberikan oleh Peguam Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung penarikan diri peguam, Syazlin Mansor daripada prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Jelas Anwar, penjelasan yang baik perlu diberikan kedua-dua bagi pihak dalam isu tersebut bagi mengelakkan sebarang spekulasi dalam kalangan rakyat.
“Kena ada penjelasan yang baik, kalau katakan sekarang Peguam Negara ambil alih, kenapa enam bulan lalu tidak begitu, kena beri penjelasan yang baik.
“Harus beri penjelasan mengapa hal ini berlaku oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ataupun oleh Peguam Negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Parlimen di sini hari ini.
Semalam Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba tersebut.
Sementara itu, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen berpandangan, kerajaan perlu segera membuat pelantikan baharu bagi jawatan Pengerusi dan Ahli Majlis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
“Hal ini nampak tertangguh beberapa bulan dan ini tidak mengambarkan sesuatu yang positif, oleh itu kita menggesa supaya kerajaan melantik segera bukan sahaja Pengerusi tetapi Ahli Majlis Suhakam yang baharu,” kata Anwar. – UTUSAN ONLINE.











