KUALA LUMPUR 28 Mei – Fitters Diversified Bhd. menjangkakan akan mengekalkan momentum baik yang dicatatkan tahun lepas pada tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2019 dengan bersandarkan keputusan lebih baik dalam semua segmen perniagaannya.
Pengarah Urusannya, Datuk Richard Wong berkata, penyumbang utama adalah daripada pembangunan hartanah dan bahagian pembinaan dengan siapnya pembangunan perumahan bertanah Azalea@Taman Putra di Sungai Buloh menjelang akhir 2019.
“Segmen lain yang memaparkan prestasi kukuh termasuk projek infrastruktur air, perkhidmatan bomba serta bahagian tenaga diperbaharui dan sisa kepada tenaga,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu di sini hari ini.
Wong berkata, kumpulan menyasarkan untuk melancarkan fasa akan datang, Belleza@Taman Putra pada separuh kedua 2019 untuk memenuhi permintaan kukuh terhadap rumah mampu milik.
Sementara itu, beliau berkata, peningkatan jumlah projek infrastruktur air membayangkan prospek lebih baik bagi bahagian paip Hypro PVC-O Fitters berikutan kumpulan terus menerima lebih banyak tempahan yang akan membuatkan pihaknya sibuk sepanjang tahun ini. – BERNAMA











