LONDON 28 Mei – Selepas spekulasi hangat diperkatakan Leroy Sane bakal meninggalkan Etihad untuk menyertai Bayern Munich, namun dalam masa sama, Manchester City sedang mengadakan rundingan saat akhir bagi mengekalkan pemain muda Jerman itu.
Sane semakin hilang keyakinan untuk terus bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu apabila sering diketepikan daripada kesebelasan utama skuad Pep Guardiola.
Pemain berusia 23 tahun itu menjadi sasaran gergasi Jerman yang berminat membawanya semula ke Bundesliga bagi menambah ketajaman di bahagian serangan selepas ketiadaan Arjen Robben dan Franck Ribery.
Bagaimanapun, City juga tidak rela melepaskan Sane dan berusaha memastikan pemain itu kekal di Etihad walaupun dia hanya pilihan kedua selepas Raheem Sterling dan Bernardo Silva di bahagian sayap.
Sewaktu Guardiola menjuarai gelaran pertama pada musim 2017-18, Sane dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemain Muda Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA).
Namun, sejak kehadiran Silva dari Monaco, Sane menyedari peluangnya membarisi kesebelasan utama semakin terhad.
The Sun melaporkan City mungkin dipujuk menjual Sane kepada Bayern atau kelab lain yang boleh menerima harga tidak kurang daripada 90 juta pound (RM477.92 juta).
Sepanjang penampilannya bersama City pada 2016 dengan harga 37 juta pound (RM196.47 juta), Sane beraksi sebanyak 89 kali di liga dengan menjaringkan 25 gol dan melakukan 28 bantuan gol. – AGENSI











