Ada kesayuan di sebalik senyuman anak yatim - Utusan Malaysia

Ada kesayuan di sebalik senyuman anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN 28 Mei – Ketika melihat teman sebaya menarik-narik baju ibunya meminta untuk dibelikan seluar baharu, anak yatim mungkin hanya mampu menggulung-gulung baju sendiri dengan jari telunjuk.

Saat melihat jiran seusianya jatuh basikal dan ayahnya cepat-cepat membantunya berdiri semula, anak yatim hanya mampu memerhati sahaja kerana jangankan didukung ayah, jatuh basikal pun mungkin tidak pernah kerana tidak pernah memilikinya.

Tidak seperti insan lain yang masih ada kedua-dua ibu dan ayah dan masih berkesempatan untuk bermanja-manja dengan ayah, anak yatim, jangankan bermanja, untuk menyebut perkataan ‘ayah’ pun mungkin belum pernah kerana ayah telah lama pergi buat selama-lamanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini hanya kesedihan dan kesayuan yang dirasai insan-insan ini ketika bangun bersahur dan menjelang senja untuk berbuka puasa tanpa ayah tempat bermanja.

Bagi tiga anak yatim yang mendiami Kompleks Anak Yatim dan Asnaf Darul Kifayah Wilayah Persekutuan Labuan di sini, adalah satu penafian sekiranya tidak pernah bersedih ketika Ramadan tiba.

“Saya sentiasa sayu dan sebak mengalirkan air mata setiap kali mengingatkan gurau senda ayah ketika dia masih ada bersama kami sekeluarga. Semalam sebelum tidur, saya menangis tiba-tiba ingat ayah.

“Saya tiba-tiba ingat ayah masa bersahur dan bersungkai (berbuka puasa) dengan ayah saya hanya mampu menahan kesayuan dalam hati.

“Emak sudah berumur dan tidak bekerja hanya mendapat upah sebagai pembantu gerai makanan termasuk mencuci piring dan itupun kalau ada yang meminta bantuan,” kata seorang anak yatim, Mohd. Nazrul Rosli, 14, yang berasal dari Sipitang, Sabah kepada Bernama dalam satu temu ramah khas Ramadan Aidilfitri di Kompleks Anak Yatim dan Asnaf Darul Kifayah Wilayah Persekutuan Labuan hari ini.

Anak bongsu daripada lima beradik, Nazrul kehilangan ayah ketika baru berumur 10 tahun (Tahun 4 di sekolah rendah), dan dari saat itulah sehingga kini dia tidak lagi pernah memanggil ayah untuk sesuatu yang diinginkannya.

Ayahnya ketika masih hidup bekerja sebagai juruteknik bagi menampung kehidupan sekeluarga dan meninggal dunia akibat serangan jantung.

 

“Saya masih ingat melihat ayah longlai terbaring di rumah dan cuba dibantu oleh pekerja hospital.

“Ingatkan ayah hanya pengsan, tetapi, selepas beberapa kali bantuan pernafasan, ayah disahkan meninggal dunia di hadapan kami semua,” katanya dengan mata berair.

“Selepas beberapa lama ayah meninggal, saya cuba kuatkan hati seperti mana emak ajarkan.

“Saya tahan hati sahaja setiap kali melihat kawan-kawan di sekolah diambil ayah mereka setiap kali habis sesi persekolahan saya kuatkan hati agar tidak menangis di hadapan rakan lain, tapi sebenarnya saya sedih,” katanya sambil mengusap air mata yang membasahi pipinya.

Ada kesayuan di sebalik senyuman anak yatim
Pengetua Kompleks Anak Yatim dan Asnaf Darul Kifayah Labuan Abd Fatah Abd Hafiz. – BERNAMA

Dengan linangan air mata Nazrul meneruskan luahan hatinya, sambil berkata, bantuan pelbagai pihak termasuk sekolah dan jawatankuasa masjid sedikit sebanyak meringankan beban keluarga termasuk membeli baju raya setiap bulan Ramadan sejak kehilangan ayah.

“Selepas balik ke Sipitang untuk beraya dengan emak dan kakak abang, saya akan ziarah kubur ayah,” katanya mengakhiri perbualan.

Nazrul adalah antara 15 anak yatim yang ditempatkan di kompleks berkenaan dengan tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan dan disekolahkan di SMK Labuan.

Shiraj Jaffri, 13, seorang lagi anak yatim yang berasal dari Labuan, hampir kehilangan segala-galanya apabila kakak sulungnya yang diharapkan menjadi tulang belakang keluarga selepas ayah mereka meninggal dunia, terkorban dalam kemalangan jalan raya di Semenanjung pada Disember tahun lepas, hanya dua tahun lebih selepas kematian ayahnya.

Kakaknya, Khairunissa Jaffri bersama dua rakan lain yang merupakan pelajar Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam perjalanan pulang selepas menonton perlawanan akhir pertama Malaysia menentang Vietnam, apabila mereka terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Persekutuan Batu 3 Shah Alam.

“Ayah meninggal masa saya di Tahun 4, disebabkan kencing manis ayah adalah penolong pengurus di Petronas, masa ayah meninggal sudah hampir dekat bulan Ramadan,” katanya yang merupakan pelajar Tingkatan 1, SMK Labuan.

Selepas ayahnya meninggal, adik-beradiknya terpaksa bergantung hidup kepada pendapatan ibu mereka yang mengusahakan perniagaan dalam talian dengan hasil pendapatan yang tidak menentu.

“Walaupun adakalanya emak bagi tahu tidak cukup duit untuk keperluan kami, emak berusaha juga cari duit,” luah Shiraj, anak ketiga daripada enam adik-beradik itu yang terpaksa menjalani kehidupan di Kompleks Anak Yatim dan Asnaf Darul Kifayah bermula tahun ini bersama kakaknya (anak keempat) berikutan kehidupan keluarga yang tidak seperti ketika ayahnya masih hidup dahulu.

“Syukur alhamdulillah, selepas ayah meninggal, ada pihak juga yang memberi sumbangan kepada kami adik-beradik untuk persiapan hari raya seperti untuk beli baju raya.

“Namun kesedihan dari mula pemergian ayah sehingga kini, saya tidak dapat lupakan dan sering mengingati ayah lagi-lagi pada bulan Ramadan, sebab selalu bersahur dan berbuka puasa bersama, begitu juga bila-bila masa saya mendapat pingat dan sijil atas pencapaian sukan dan peperiksaan sekolah saya mesti teringat ayah, dan bila masa teringat selalunya sebelum tidur, saya akan sedekahkan Al-Fatihah,” katanya.

Mohd. Shahriezan Yusri, 14, juga berasal dari Labuan, pelajar Tingkatan 2 SMK Labuan, kehilangan ayah ketika berumur 10 tahun (Tahun 4 sekolah rendah).

Ayahnya ketika masih hidup merupakan seorang penjawat awam di Jabatan Bekalan Air Labuan dan meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Saya masih ingat ayah meninggal pada 26 Disember kira-kira pukul 1.30 pagi ketika ayah berumur 41 tahun dan kami semua berada dalam rumah ketika itu.

“Ingatan saya terhadap ayah masih kuat selalunya masa sebelum tidur, dan apabila teringat saya akan menangis seorang diri saya ingat sebab ayah selalu bawa saya jalan-jalan,” katanya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Selepas ayahnya meninggal dunia, emak dan adik-beradiknya yang lain terpaksa bergantung hidup pada duit pencen bulanan neneknya.

“Pada setiap bulan Ramadan, kami pelajar yatim akan menerima bantuan pembelian baju raya melalui pihak tertentu,” tambahnya.

Shahriezan mula menjalani kehidupan di kompleks ini sejak tahun lepas bersama 14 anak yatim dan 57 anak asnaf.

Pengetua Kompleks Anak Yatim dan Asnaf Darul Kifayah, Abd. Fatah Hafiz berkata, kompleks di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan itu berusaha memastikan anak-anak yatim dan asnaf dilengkapi dengan kemudahan asas yang diperlukan selama mendiami kompleks itu.

“Ini termasuklah duit saku ke sekolah setiap hari, makan minum yang cukup dan pakaian yang diperlukan serta peralatan persekolahan*selain pendidikan agama sebagai panduan kehidupan mereka,” katanya.

Kompleks berkenaan memulakan operasi pada Januari 2018 dengan pengambilan pelajar (yatim dan asnaf) seramai 47 orang yang berasal kebanyakan dari Labuan dan Sabah.

“Bilangan pelajar meningkat kepada 72 orang tahun ini yang hampir mencapai kapasiti 100 orang dalam satu masa,” katanya.

Fatah berkata, adalah menjadi tanggungjawab kompleks berkenaan memastikan setiap pelajar jagaannya mampu menjalani sesi persekolahan sama seperti pelajar lain dan menduduki peperiksaan awam sekolah dengan jayanya.

“Selain anak yatim, kita juga berasa sedih melihat keadaan anak asnaf, yang mana ada antara mereka ini memang betul-betul daif sehinggakan ada dalam kalangan mereka menzahirkan amat jarang sekali makan ayam dalam setahun.

“Begitu juga biskut ‘Chipsmore’, disebabkan jarang merasainya, ada sebilangan mereka ini terpaksa berbahagi sekeping dengan rakan lain dan disimpan untuk dimakan kemudiannya.

“Yang menyedihkan lagi, ada anak asnaf ini kelihatan sangat gembira ketika mula masuk di asrama kompleks ini, dan apabila ditanya, mereka kata ini kali pertama tidur atas katil bertilam, sebab di rumah mereka tidur hanya beralaskan kain,” katanya berkongsi luahan anak asnaf di kompleks berkenaan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini