Peniaga kedai runcit didakwa rasuah polis RM5,000 - Utusan Malaysia

Peniaga kedai runcit didakwa rasuah polis RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang peniaga kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberikan suapan kepada seorang anggota polis berjumlah RM5,000 bagi mengelak daripada diambil tindakan kerana menyimpan rokok seludup dua tahun lalu.

Tertuduh, Loo Che Ming, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan suapan tersebut kepada Inspektor Afzanizam Mat Isa yang bertugas di Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Kedai Runcit Loo Brother di No. 31, Kampung Baru Ayer Tawar, Manjung pada pukul 10.30 pagi 5 Oktober 2017. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut sebagai dorongan kepada anggota polis berkenaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan menyimpan rokok seludup.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Wahida memohon supaya tertuduh ditawarkan jaminan munasabah sebanyak RM30,000 bagi menjamin kehadirannya ke mahkamah.

Tertuduh bagaimanapun merayu supaya jaminan tersebut dikurangkan kerana mempunyai tanggungan ibu dan bapa, masing-masing berusia 78 dan 85 tahun selain lima orang anak berumur antara 18 hingga 9 tahun.

Indra Nehru kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 beserta seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga terdekat. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan. 

Mahkamah menetapkan 21 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini