Impian PERMATA ROSMAH - Utusan Malaysia

Impian PERMATA ROSMAH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA baru saja mahu turun anak tangga surau, apabila seorang lelaki yang telah lama bersara, menarik lengan saya lalu berkata “Cikgu saya baca tulisan Cikgu tentang pertemuan Cikgu dengan Datuk Seri Mohd Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor. Betul ke Cikgu jumpa mereka?”

Saya memegang erat tangannya agar dia tidak jatuh di kawasan licin kesan limpahan air di permukaan lantai surau itu. “Benar. Saya bertemua mereka”, jawab saya sambil membawanya duduk untuk menjamu juadah moreh yang disediakan surau. Dia kelihatan mahu berbual panjang dengan saya.

“Benarkah mereka seperti yang Cikgu perkatakan? Itulah kali pertama saya faham matlamat Permata. Tak sangka Rosmah mempunyai visi macam tu untuk tolong budak budak yang ada bakat,” dia terus berkata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebenarnya Permata adalah sentuhan hati Datin Seri Rosmah yang akan banyak mengubah nasib anak anak Malaysia. Sebagai guru, saya tidak ragu-ragu. Yang saya bimbang ialah campur tangan mereka yang cuba menggagalkannya.

“Kemana perginya anak-anak Malaysia yang pintar dan berbakat? Mereka sebenarnya ada di mana mana. Tiba masanya kita menggilap bakat mereka supaya mereka dikenali di peringkat global. Tidak ada kepuasan yang lebih manis buat saya, daripada melihat anak Malaysia yang berbakat menjadi terkenal di peringkat antarabangsa”, kata Datin Seri Rosmah apabila bercakap tentang Program Permatanya.

Ide untuk sebuah pusat pendidikan yang mendokongi keperluan pelajar pintar dan berbakat dalam kalangan anak-anak Malaysia disuarakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor pada tahun 2007 dan pada tahun berikutnya UKM telah diberi mandat oleh Kabinet untuk merancang, melaksana dan memantau program pendidikan pintar ini.

Permata Negara ini diketuai oleh tiga orang tonggak yang mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi. Mereka adalah Perunding Kanan Program iaitu Tan Sri Sharifah Hapsah Binti Syed Hasan Shahabudin, Pengerusi Jawatankuasa Program Permata Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan Pengarah Permata Pintar Prof Dato Dr Noriah Mohd Ishak.

Pada 3 April 2009 satu perjanjian persefahaman telah ditandatangani oleh UKM dan John Hopkins University – Centre for Talented Youth (JHU CTY). JHU CTY telah diamanahkan mewujudkan program pengayaan untuk pelajar pintar dan berbakat yang dinamakan “Program Perkemahan Cuti Sekolah UKM JHU CTY.”

“Siapa bilang rakyat Malaysia tidak mampu berjaya di pesada antarabangsa? Saya mahu lihat anak-anak luar bandar mencapai kejayaan besar dengan bakat dan kepintaran yang mereka miliki agar mereka dapat bangunkan masyarakat di tempat mereka dan seterusnya keluar dari kemiskinan”, kata Datin Seri bersungguh sungguh.

“Datin berulang kali menyebut anak luar bandar berbakat dan Datin yakin mereka boleh berjaya. Apakah mereka bersedia menghadapi cabaran?”, tanya saya yang teruja melihat kesungguhan isteri Datuk Seri Najib itu.

“Cikgu tahu, suatu hari saya singgah di Sungai Besi dan perhatian saya tertumpu kepada seorang anak Melayu yang sedang menjual kuih. Saya bertanya kepadanya tentang kuih muih yang dijualnya dan dia boleh menjawab setiap soalan yang saya ajukan tentang kuih muih yang dijualnya dan dia juga berkata apabila dia dewasa, dia mahu meneruskan perniagaan ibubapanya secara besar besaran. Saya tergamam dan terpukau. Anak sekecil itu sudah punya wawasan hidup dan tahu apa yang hendak dilakukannya. Inilah kemahiran yang perlu kita gilapkan. Jika dia berkemahiran dalam perniagaan, jangan sesekali kali kita menganggap dia tidak pandai hanya kerana dia tidak cenderung kepada akademik di sekolah”, terang Rosmah dengan penuh harapan.

“Mungkin kita tidak sedar bahawa ramai anak anak luar bandar yang pintar tetapi akhirnya tidak kemana. Ingat tak anak Melayu yang kita anggap genius tetapi akhirnya tewas dalam gelombang dan cabaran kehidupan? Kemana mereka sekarang?

Sedih hati saya bila melihat apa yang terjadi pada mereka sekarang.” Fikiran saya terus melayang mengingati seorang pelajar pintar yang boleh membaca pada usia yang sangat muda.

Sebagai usaha rintis, UKM telah menghantar 14 pensyarah dari pelbagai fakulti untuk mendapat latihan selama sebulan mengenai pendidikan pelajar berbakat. Sekembalinya mereka, seramai 45 guru sekolah telah diberi latihan untuk melaksanakan program bagi pelajar berbakat dan pintar.

Antara aspek penting dalam program pendidikan sebegini ialah saringan yang tepat. Dua ujian atas talian telah diwujudkan iaitu UKM 1 dan UKM 2. Seramai 212, 486 pelajar telah mencuba ujian pertama ini dan 450 pelajar telah terpilih untuk mengikuti ‘Program Perkemahan Cuti Sekolah UKM-CTY 2009’. Sehingga kini lebih daripada sejuta murid berumur antara 9 hingga 15 tahun telah mencuba Ujian UKM 1.

Yang paling menarik ialah kemahiran dan bakat semula jadi murid dikembangkan melalui satu sistem pendidikan yang holistik dan komprehensif.

Sebagai guru, saya mahu melihat impian Permata Datin Seri Rosmah ini diteruskan. Saya mahu melihat anak anak luar bandar diperkasakan dan berjaya keluar dari kemiskinan yang menghimpit mereka. Saya mahu melihat bahawa rakyat Malaysia tidak dipengaruhi oleh sesuatu yang tidak betul tentang niat ikhlas Datin Seri Rosmah Mansor.

“Saya harap Datin Rosmah diberikan peluang untuk meneruskan program ini dengan kerjasama kerajaan yang ada sekarang. Saya takut ia dipolitikkan dan dihentikan. Tahulah kita di Malaysia ini memang terkenal dengan perasaan balas dendam dan dengki,” kata pesara yang menjadi tetamu di surau pada malam itu.

Ketika dia mohon diri untuk pulang, dia sempat berbisik pada saya “Kirim salam saya pada Najib dan Rosmah.”

ARTIKEL ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS YANG JUGA PENULIS BLOG ‘DARI JAUH’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini