KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, akhbar Kosmo! menerbitkan iklan raya Aidilfitri yang bertajuk Surat Khabar Raya melalui semua platform media sosial dan laman web Kosmo! Online hari ini.
Penggambaran iklan raya Kosmo! selama tiga hari itu dilakukan di Kampung Kuantan, Klang, Selangor berdurasi 6 minit 5 saat. Ia boleh disaksikan mulai pukul 12 tengah hari hari ini.
Pengarang Online Kosmo!, Siti Kamilah Mustapha berkata, watak utama iklan raya Kosmo! itu dilakonkan oleh bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baharuddin Mat Asek bersama beberapa wartawan Kosmo! sendiri.
“Iklan raya Kosmo! itu berkisar mengenai surat khabar yang masih relevan di negara ini kerana mempunyai pembacanya tersendiri walaupun dengan kemunculan media digital dan peralihan arus perdana,” jelasnya.
Tambahnya, penerbitan iklan raya ini mengetengahkan isu survival surat khabar di Malaysia terutama Kosmo! yang telah berusia 15 tahun dan terus menjadi akhbar Melayu nombor satu negara.











