FUJIAN 28 Mei – Seorang kanak-kanak berusia 13 tahun maut manakala 14 yang lain termasuk lima dewasa cedera dalam kejadian pentas runtuh ketika uji bakat tarian di teater kesenian dan persembahan Golden Daffodil di Zhangzhou dekat sini.
Daily Mail melaporkan, kejadian berlaku pada Sabtu lalu dan sempat dirakam oleh penonton serta tular dalam media sosial.
Kejadian berlaku ketika peserta uji bakat berkumpul di atas pentas ketika sesi akhir uji bakat tersebut.
Pasukan penyelamat mengambil masa selama 20 minit untuk membantu menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap di bawah pentas termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang tersepit antara panggung dan platform pentas.
Dalam kejadian itu, tiga pekerja Kunming Queshen Cultural Broadcasting Company yang menganjurkan acara tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati, pentas didapati terlalu sesak dengan orang ramai dan peserta.











