KLANG – Sikap pemanduan merbahaya seorang mekanik sehingga menyebabkan kematian peserta larian Klang City International Marathon dua tahun lalu berbalas apabila dihukum penjara empat tahun dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Roslizi Sulaiman memutuskan demikian selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap tertuduh, Teoh Thiam Lim, 30.
Roslizi turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama tujuh bulan jika gagal membayar denda terbabit. Thiam Lim membayar denda terbabit.
Selain itu, mahkamah turut memutuskan tertuduh hilang kelayakan memandu selama tiga tahun selain lesen memandu Thiam Lim direkodkan dengan kesalahan itu.
Kesemua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak mulai hari ini.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, Thiam Lim didakwa telah memandu sebuah Proton Iswara secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Evelyn Ang Gek Suan, 45, yang merupakan salah seorang peserta larian itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 2, Jalan Kapar di sini pada pukul 4.30 pagi, 10 Disember 2017.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 serta lesen memandu digantung mininum tiga tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ermadieyani Ismadi manakala tertuduh diwakili peguam, Ravi Nekoo.
Terdahulu, Ravi memohon hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan anak guamnya dikemukakan.
Roslizi bagaimanapun menolak permohonan berkenaan memandangkan tiada keadaan khas wujud dalam kes itu.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang peserta larian Klang City International Marathon parah manakala dua lagi cedera ringan selepas dilanggar sebuah kereta Proton Iswara dari arah belakang di Batu 2, Jalan Kapar di sini, 10 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, peserta yang parah ialah Evelyn Ang Gek Suan, 44, selepas mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Bagaiamanapun, Evelyn Ang disahkan meninggal dunia di hospital terbabit pada 1 Mac tahun lalu kira-kira pukul 1.13 pagi. – K! ONLINE











