KUALA TERENGGANU 27 Mei – Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) terus membawakan senyuman keriangan kepada 133 anak yatim dan pelajar tahfiz di daerah ini apabila mereka diraikan dalam majlis berbuka puasa di Paya Bunga Hotel di sini semalam.
Mereka yang diraikan adalah daripada Madrasah Tarbiyyah Islamiyah Darul Hijrah di Chendering di sini.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Mohd. Shamsol Bahrin Mohd. Kamil berkata, program tradisi itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim bahkan dalam masa sama memberi lebih penghayatan kepada jemputan tentang nikmat yang perlu disyukuri sesama umat Islam.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar bersama-sama menjadikan Ramadan kali ini sebagai bulan yang melatih diri menjadi insan yang sentiasa membantu saudara sesama Islam dengan penuh kasih dan sayang serta bertanggungjawab.
“Semoga kehadiran anak-anak pelajar ini dapat membawa keceriaan dan keinsafan kepada semua.
“EPIC berharap sumbangan ini juga dapat meringankan beban keluarga anak-anak dalam menyambut Syawal tidak lama lagi,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid.
Selain sumbangan duit raya, anak yatim dan pelajar tahfiz itu turut menerima sumbangan cenderahati daripada EPIC.
Terdahulu, sebelum majlis tersebut EPIC turut membawa kesemua 133 pelajar berkenaan membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri di gedung tekstil terkemuka negara, Jakel di Gong Badak. – UTUSAN ONLINE











