JOHOR BAHRU 27 Mei – Tindakan bomba yang pantas mengeluarkan pemandu tersepit berjaya menyelamatkan nyawa mangsa selepas kereta dipandu melanggar tiang lampu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di depan stesen minyak Jalan Pontian, Taman Pulai Perdana di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2.20 petang itu, lapan anggota, satu jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pukul 3.26 petang.
Pihak bomba kemudian mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan Erfan Ezamri, 19, yang tersepit di tempat duduk pemandu akibat keretanya ‘melekat’ pada tiang tersebut dalam keadaan remuk teruk.
Menurut Ketua Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Azlan Ramli, kereta Proton Wira dinaiki mangsa sebelum itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu MBIP.
“Mangsa seorang diri telah tersepit di tempat duduk pemandu. Pihak bomba mengeluarkan mangsa dalam anggaran lima minit dan atas permintaan ayah mangsa yang hadir di lokasi, mangsa dihantar ke Hospital Colombia dengan menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Skudai.
“Operasi tamat pukul 3.48 petang. Mangsa beralamat di Kampung Melayu Kangkar Pulai, dekat sini,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE











