Air mata tumpah di bumi Lubnan
 - Utusan Malaysia

Air mata tumpah di bumi Lubnan


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengalaman menyaksikan sendiri kesengsaraan anak-anak kecil di bumi Lubnan, air mata penyanyi rock Ella Aminuddin tidak berhenti-henti mengalir.

Penyanyi ini melihat betapa kanak-kanak di sana bukan sahaja kekurangan bekalan makanan, tetapi juga mendambakan kasih sayang dan pelukan erat dari mereka yang lebih dewasa.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 52, yang ditemani suaminya, Azhar Ghazali, 38,

Memuatkan artikel berkaitan…
 

dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan, Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB). Justeru mereka berpeluang menyertai misi kemanusiaan melawat kem pelarian Palestin dan Syria di Lubnan pada akhir April lalu.

“Ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan memberi kesan positif kepada saya.  Pengalaman berharga ini akan saya kenang sampai bila-bila kerana ia tidak terdapat di mana-mana. Lagipun ini hasrat yang sudah lama tertangguh akhirnya berjaya dicapai.

“Apa yang boleh dikatakan, sepanjang berada di sana hati saya selalu sebak dan tidak dapat tahan air mata apabila melihat sendiri kesukaran hidup yang dilalui oleh pelarian Palestin dan Syria. Susahnya kehidupan mereka tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

“Bayangkan saya melihat sendiri di hadapan mata bagaimana kanak-kanak dengan muka berdarah berebut makanan kerana tidak tahan lapar. Kemudian mereka berebut lagi makanan untuk diberikan kepada adik-adik pula.

“Ada kanak-kanak yang sudah berusia 10 tahun tetapi fizikal mereka seperti budak usia dua tahun. Ini kerana mereka kekurangan zat serta nutrisi makanan yang sihat sehingga menyebabkan tumbesaran tubuh terbantut,” kata Ella.

Malah lebih memberi kesan kepada penyanyi lagu Sembilu ini ialah apabila kerapnya berlaku kematian dalam kalangan kanak-kanak akibat aliran elektrik tidak diurus dengan baik.

Justeru, hampir setiap masa ada sahaja kanak-kanak meninggal dunia kerana terkena kejutan elektrik. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah nyawa sudah tidak berharga lagi.

“Hati saya sedih hanya Allah yang tahu. Sejujurnya, saya sendiri tidak menyangka situasi ini berlaku di hadapan mata saya. Kadang-kala saya seperti tidak percaya semua ini masih berlaku dalam dunia yang semakin maju,” luah Ella dengan nada sebak.

Lebih menyentap hatinya apabila ramai kanak-kanak di sana yang sangat kehausan kasih sayang akibat kehilangan ibu bapa.

“Apabila saya dan suami muncul di hadapan kanak-kanak di sana, mereka akan meminta didukung kerana dahagakan kasih sayang. Sedihkan?

“Jadi, saya berharap kempen derma #1follower1ringgit setiap orang akan diteruskan kerana bantuan kepada mereka tidak pernah cukup sampai bila-bila pun.

“Bantulah mereka untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik terutama dalam mendapatkan bekalan air dan makanan yang bersih serta pakaian.

“Tanpa bantuan yang berterusan, tidak mungkin mereka boleh hidup selesa dan sering terdedah dengan masalah kesihatan,” jelas Ella yang ditemui dalam majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Maahad Tahfiz Darul Aini, Kuang, Selangor baru-baru ini.

Ella mengakui misi tersebut membuatkan dirinya lebih matang, lebih menghargai cinta sesama manusia dan keamanan negara.


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini