KETIKA kebanyakan orang berminat berbuka puasa di hotel dan lokasi terkemuka yang menyajikan pelbagai hidangan terbaik atau setidak-tidaknya lebih cenderung membeli juadah di bazar Ramadan, namun perkara sebaliknya menjadi pilihan personaliti agama Ustaz Hariri.
Bagi pemilik nama sebenar Mohd. Hariri Mohamad Daud, beliau ternyata lebih teruja untuk menikmati hidangan berbuka puasa hasil air tangan isteri tercinta, Noor Farihan Zaidan.
Penolong Pengarah Bahagian Maqasid Syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu berkata, hidangan yang disediakan isteri bukan sahaja akan mengutamakan aspek kebersihan dan bahan digunakan terhindar daripada perkara syubhah, namun paling penting adalah halal dinikmati bersama ahli keluarga.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, keikhlasan masakan seorang isteri kepada suami dan ahli keluarga pasti akan mengukuhkan lagi hubungan kasih sayang antara mereka sekali gus berjaya membentuk sebuah keluarga bahagia.
“Masakan isteri tetap menjadi pilihan utama saya sepanjang Ramadan. Malah pada bulan Ramadan juga menyaksikan waktu paling kerap untuk saya, isteri dan anak-anak makan bersama serta solat berjemaah berbanding bulan lain.
“Jika pada bulan lain kadang-kadang kami sibuk dan tidak sempat makan bersama, tetapi ketika Ramadan jadual kesibukan itu terhenti. Kami akan sahur bersama, berbuka bersama, ke masjid dan solat berjemaah serta bertadarus al-Quran di rumah,” katanya.
Mengulas lanjut Hariri berkata, beliau jarang berkunjung ke bazar Ramadan bagi membeli makanan kerana tahu isterinya pasti akan memasak biarpun satu juadah ringkas.
Namun katanya, terdetik juga perasaan kasihan terhadap isteri yang terpaksa bergegas pulang ke rumah untuk menyiapkan hidangan setelah tamat mengajar di sekolah pada sesi petang.
“Alhamdulillah, isteri saya pun suka memasak biarpun sekadar menu sederhana. Cuma tiap-tiap hari dia akan menghantar pesanan menerusi WhatsApp kepada saya dan bertanya menu apa yang hendak dimasak kerana sudah ‘pening’ fikirkan menu yang mahu dimasak pada hari itu,” katanya tertawa kecil.











