BATU PAHAT 26 Mei – Tindakan pantas seorang penumpang yang menyedari berlaku kebakaran di belakang sebuah bas persiaran berjaya menyelamatkan nyawa 31 pelancong dari China di Kilometer 97.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Kebakaran itu yang kemudian dimaklumkan kepada pemandunya, Kamarul Ariffin Mohd. Ali dan seorang pemandu pelancong tempatan kemudian memberhentikan bas tersebut diorong kecemasan.
Sejurus itu Kamarul Ariffin mengarahkan 31 pelancong China terdiri daripada tujuh lelaki dan 21 wanita mengosongkan bas persiaran tersebut yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Melaka.
Dia berkata, dalam situasi cemas itu para penumpang sempat membawa keluar beg masing-masing dari tempat penyimpanan barang di bahagian atas dan bawah bas persiaran berkenaan.
“Saya cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api keselamatan yang ada tetapi tidak berjaya kerana api marak dengan cepat yang bermula dari bahagian belakang bas.
“Pihak bomba kemudian dihubungi untuk mendapatkan bantuan kerana tidak mampu mengawal kebakaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini sebentar tadi.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Nizam Aresat berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 2.31 petang, 13 anggota dan dua jentera dari BBP Yong Peng dan BBP Ayer Hitam dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kesemua pemandu dan penumpang berjaya menyelamatkan diri. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kebakaran berjaya dikawal dan operasi tamat pukul 3.45 petang. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











