IPOH 26 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyiasat tiga program di masjid di negeri ini yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Perak hari ini, Dato Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor berkata, ceramah berkenaan ialah di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei.
Beliau berkata, dua lagi ceramah ialah di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei serta program atas nama parti politik yang dilangsungkan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.
Kata beliau, baginda turut menitahkan Pengarah JAIPk melakukan siasatan lengkap ceramah berkenaan untuk dipersembahkan kepada baginda.
“Baginda tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau. Baginda juga menegaskan agar parti politik tidak menjemput penceramah untuk menyampaikan ceramah agama di negeri ini tanpa terlebih dahulu mendapatkan tauliah berceramah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
“Jika program ceramah mahu dianjurkan dalam masjid atau surau hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran pihak berkuasa Agama Islam Negeri Perak.
“Baginda menegaskan bahawa masjid dan surau adalah rumah ibadah, berperanan untuk menyatukan ummah. Jika program atas nama parti politik dibenarkan menular dalam masjid dan surau, dibimbangkan rumah ibadah untuk penyatuan ini akan dicemarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE











