Polis sahkan mayat ditemukan adalah 2 nelayan yang hilang sebelum ini - Utusan Malaysia

Polis sahkan mayat ditemukan adalah 2 nelayan yang hilang sebelum ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 26 Mei – Dua mayat yang ditemukan di perairan Batu Pahat dan Pontian pagi ini disahkan pihak polis merupakan dua nelayan yang hilang semasa menjaring ikan di Pulau Pisang dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superitendaen Mustafa Bakri Salleh berkata, dua mayat itu disahkan ahli keluarga masing-masing selepas proses pengecaman dilakukan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan di Hospital Daerah Pontian sebentar tadi.

“Pengecaman mayat mangsa dilakukan oleh waris. Mayat kepada Mohd. Khair Ismail, 37, yang ditemui di Kuala Sungai Ayam, Batu Pahat, pukul 8.50 pagi telah disahkan waris mangsa, Siti Raihana Ramzaan (isteri mangsa).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mayat Mohd. Yusni Mohd. Yusof, 43, yang dijumpai di Rengit oleh pihak nelayan pukul 10.10 pagi pula telah disahkan Rashidah Omar yang juga isteri mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang Khamis lalu, Mohd. Yusni dan sepupunya, Mohd. Khair pergi ke pulau berkenaan untuk menjaring ikan sebelum tidak pulang semula ke rumah masing-masing.

MAYAT kedua yang ditemui tiba di Jeti Nelayan Ayer Baloi, Pontian, Johor pukul 11.30 pagi sebelum di
MAYAT kedua yang ditemui tiba di Jeti Nelayan Ayer Baloi, Pontian, Johor pukul 11.30 pagi sebelum diserah kepada pihak polis untuk proses pengecaman  keluarga mangsa. – UTUSAN ONLINE/ Ihsan Maritim

Keluarga mereka yang bimbang dengan keadaan tersebut membuat laporan polis sebelum operasi dan gerakan mangsa dilakukan melibatkan pihak maritim, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, polis marin dan nelayan setempat.

Sementara itu, Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid memberitahu, mayat pertama yang ditemukan adalah Mohd. Khir manakala mayat kedua Mohd. Yusni.

“Mayat pertama ditemui terapung lebih kurang 23.5 batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa hilang manakala mayat kedua pula ditemui lebih kurang 7 batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa hilang,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAE) ditamatkan pada pukul 12.30 tengah hari tadi selepas kedua-dua mayat ditemukan dan disahkan keluarga mangsa.

Aminuddin berkata, Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi- agensi dan komuniti maritim yang terlibat atas komitmen yang tinggi dan kerjasama dalam operasi SAR yang dikoordinasikan itu.

Maritim Malaysia ujarnya, menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan jenayah maritim dan kecemasan di laut dengan menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 khususnya bagi kejadian di perairan Johor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini