KUALA NERANG – Hasrat seorang penyelia tapak projek untuk menimang cahaya mata pada September ini tidak kesampaian apabila dia maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Kota Damansara, Selangor semalam.
Mangsa, Khoiril Ghaffar Mohd. Sabardin, 30, meninggal dunia kira-kira pukul 9.25 pagi semalam akibat kecederaan parah pada bahagian perut dan dada.
Isteri mangsa, Nurhidayah Ramli, 30, berkata, dia terkejut sebaik dimaklumkan suaminya meninggal dunia akibat terjatuh di tapak pembinaan bangunan apartmen dan komersial tempat arwah bekerja.
“Saya tidak jelas dari tingkat berapa dia terjatuh, namun ada rakan suami beritahu mungkin arwah terjatuh dari tingkat empat yang merupakan ruang lif bangunan tersebut,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Bukit, Mukim Kurong Hitam di sini hari ini.
Katanya, dia terkilan kerana hasrat arwah untuk menimang cahaya mata kedua selepas bayi pertama mereka meninggal dunia dalam kandungan September tahun lalu tidak kesampaian.
“Arwah kelihatan tidak sabar untuk menimang cahaya mata yang kedua ini. Dia sempat menemani saya membuat imbasan bayi dalam kandungan yang mengesahkan jantina bayi ini perempuan.
“Suami saya sempat memilih beberapa nama untuk bayi yang saya bakal lahirkan ini iaitu antara Dian Ariana atau Dian Arisya,” ujarnya sebak.
Selain itu, katanya, perancangan suami untuk beraya di kampungnya di Taiping, Perak pada tahun ini pada hari raya pertama diikuti kampung arwah di Kuala Nerang pada raya kedua juga tidak dapat dipenuhi.
Jenazah Khoiril Ghaffar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dalam di sini kira-kira pukul 11.30 pagi ini. – K! ONLINE











