LUMUT – Polis berjaya menjumpai sangkar monyet di dalam sungai Bota hasil bantuan Pasukan Polis Marin berhubung kes tembak haiwan liar itu 18 Mei lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, bagaimanapun sehingga kini pihak polis masih belum menjumpai bangkai monyet tersebut.
“Sangkar yang dirampas itu merupakan perangkap monyet.
“Suspek telah menembak seekor monyet liar yang terjerat masuk ke dalam perangkap tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Razarudin, motif kejadian adalah untuk menghapuskan monyet liar berkenaan namun pendekatan yang digunakan itu salah.
“Kedua-dua suspek yang ditahan telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Siasatan terhadap kes juga hampir lengkap dan ia perlu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya terlebih dahulu untuk sebarang tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, suspek kini dilepaskan dengan jaminan polis sehingga arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya dikeluarkan. – K! ONLINE











