KUALA LUMPUR 26 Mei – Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) masih kekal sebagai badan induk yang relevan di negara ini.
Keputusan tersebut bermakna tindakan 12 ahli gabungan yang mahu melancarkan undi tidak percaya terhadap badan induk itu dengan cadangan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Ipoh, 9 Julai depan adalah tidak sah.
Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, tiada keperluan untuk mengadakan EGM ketika pihaknya sudah mendapat sokongan padu daripada ahli gabungan.
“Kumpulan kedua yang ingin buat EGM tanpa mendapat kebenaran Makaf adalah tidak sah.
“Mereka ini pada awalnya meminta Makaf untuk membuat EGM tetapi mereka sendiri yang tidak menghantar nama untuk pelantikan sebagai ahli majlis tertinggi,” katanya pada mesyuarat kali pertama majlis tertinggi Makaf pada Sabtu.
Presiden Persatuan Karate Putrajaya, P Thiagu menerusi laporan sebelum ini berkata, sebanyak 12 ahli gabungan mahu mengadakan undi tidak percaya terhadap Makaf sekaligus mahu mengadakan EGM Julai depan atas beberapa faktor.
Antara dakwaan mereka, Makaf membenarkan ahli bukan gabungan untuk menyertai Kejohanan Kebangsaan di Serdang, Selangor, Februari lalu sehingga mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak. – UTUSAN ONLINE











