KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia baharu yang berkuasa pada Mei tahun lalu komited untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia-China dengan kerjasama lebih erat dan lebih bermakna.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pertumbuhan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjadi meteorik dan trend ini akan terus menjana lebih banyak peluang dalam bidang pelancongan, sains dan teknologi serta pertukaran budaya.
Mahathir berkata, jika pada peringkat awal, ia lebih merupakan hubungan kerajaan dengan kerajaan, perkongsian itu telah mengukur pelbagai peringkat dan mencatat pencapaian yang menjadikan China sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.
“Pertumbuhan China yang mengagumkan dalam beberapa dekad lalu hingga menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia telah banyak menyumbang kepada kehadirannya bukan sahaja dalam Malaysia tetapi di bahagian lain di dunia.
“Kerjasama kita telah berkembang dalam pelbagai peringkat dan sektor. Saya percaya selain peranan yang dimainkan oleh pemimpin kerajaan dan politik, pelbagai persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan dari kedua-dua negara telah banyak menyumbang kepada keadaan kukuh yang dinikmati kedua-dua negara, “katanya.
Beliau berkata demikian dalam buku cenderamata yang diterbitkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. – Bernama











