KUALA LUMPUR 26 Mei – Polis Kuala Lumpur terus bertindak agresif apabila menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi op bersepadu membabitkan warga Afrika di sekitar ibu negara.
Operasi yang dilakukan oleh 99 pegawai kanan dan anggota Polis Kuala Lumpur itu dengan kerjasama lapan pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia bermula kira-kira pukul 11 malam pada Jumaat lalu sehingga semalam.
Beberapa lokasi telah diperiksa antara lokasi yang diperiksa iaitu Jalan Changkat, Bukit Bintang, Kondominium Arena Green, Bukit Jalil,Jalan Sepadu off Jalan Klang Lama, Taman OUG, Brickfields, dan Taman Len Seng, Cheras serta Metro Prima, Kepong.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam pemeriksaan itu, sebanyak 28 PATI telah diperiksa.
Ujarnya, hasil pemeriksaan, pihaknya telah menahan sembilan warga Afrika membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita.
“Mereka yang ditahan terdiri tiga lelaki dan seorang wanita warga Nigeria diikuti Sudan (2) dan Guinea dan Tanzania masing-masing seorang.
“Selain itu, turut ditahan iaitu tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Mazlan, kesemua mereka yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah, serta akta berkaitan.
“Tangkapan dibawa ke Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Pihak kita begitu memandang serius terhadap isu kebanjiran warga Afrika dan akan meneruskan operasi seumpama itu bagi membanteras permasalahan berkenaan yang turut menyumbang ke arah kejadian jenayah,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mazlan menambah orang ramai yang ada sebarang maklumat mengenai kebanjiran PATI ini, boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.-UTUSAN ONLINE











