KUALA LUMPUR 25 Mei – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengugut pemuda dengan menggunakan pedang samurai dan kayu golf di Kampung Batu 3, Kuala Penyu, Beaufort, Sabah, Kelmarin.
Tangkapan kira-kira pukul 1 pagi itu dibuat susulan satu laporan polis oleh seorang lelaki berusia 22 tahun selepas dihubungi oleh seorang sepupunya yang memaklumkan suspek datang ke rumahnya dengan membawa kayu golf dan pedang samurai kira-kira pukul 1 tengah hari pada Rabu lalu.
Difahamkan, suspek berusia 34 tahun itu didakwa telah mengugut sepupunya itu dengan memberitahu bahawa dia akan menunjukkan jalan ‘ke syurga’ kepada mangsa yang kebetulan tiada di rumah ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden, Azmir Abd Razak berkata, pihaknya mengesahkan pihaknya ada menerima laporan itu dan siasatan awal mendapati kejadian itu dikatakan berlaku di hadapan rumah mangsa.
“Suspek didakwa datang ke rumah mangsa dengan membawa kayu golf dan pedang samurai untuk mencari pemuda itu selain dipercayai mengeluarkan kata-kata uguta ‘akan menunjukkan jalan ke syurga kepada mangsa.
“Kejadian itu disaksikan sepupu pengadu yang juga pemilik rumah berkenaan dan Ketika kejadian mangsa tiada di rumah,” katanya.
Tambah Azmir, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.-UTUSAN ONLINE











