KUALA LUMPUR 26 Mei – Sebanyak 2,175 notis saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) terhadap 1,917 pemilik kenderaan dalam Op Perdagangan di Plaza Tol Sungai Besi arah utara di sini sejak Khamis lalu sehingga semalam.
Menerusi Op Khas itu adalah bagi mengesan pelbagai kesalahan jalan raya dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bermula 8 sehingga 12 malam.
Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, daripada jumlah yang diperiksa, sebanyak 1,773 kesalahan dicatatkan membabitkan 1,320 lori, bas (216), van (332) dan teksi (49).
Ujarnya, antara kesalahan yang dikesan iaitu pemanduan melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit, tiada lesen memandu dan tidak memiliki Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL).
“Melalui operasi sama, sebanyak sembilan lelaki ditahan AADK selepas ujian air kencing mereka didapati positif dadah.
“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 46 tahun dengan lapan daripadanya positif dadah jenis syabu manakala seorang lagi ganja,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Nadzri, sebanyak 2,370 operasi melibatkan Op Perdagangan telah diadakan di sekitar kawasan lebuh raya PLUS sejak awal tahun ini sehingga bulan lalu.
“Melalui operasi itu, kita telah mengeluarkan 68,249 saman terhadap pemilik lori serta bas.
“Antara kesalahan terbabit ialah menggunakan lorong kecemasan dan membawa muatan secara berbahaya,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











