JOHOR BAHRU – Mayat kedua dipercayai nelayan yang hilang ketika menjaring ikan di Pulau Pisang, Pontian dekat sini pada Khamis lalu ditemui terapung di perairan Sungai Tampok, Benut, Pontian pagi hari ini.
Mayat itu ditemui pada pukul 9.50 pagi terapung di kedudukan 7 batu nautika barat daya dari lokasi mereka dilaporkan hilang selepas mayat pertama ditemui pada pukul 8.15 pagi.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat berkenaan dijumpai oleh nelayan tempatan yang turut serta dalam pencarian dua nelayan hilang itu sejak Jumaat lalu.
“Mayat berkenaan dibawa ke Jeti Nelayan Ayer Baloi, Pontian bagi tujuan pengecaman.
“Mayat pertama yang ditemui akan dibawa ke Hospital Batu Pahat manakala mayat dikedua dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang Khamis lalu, Mohd. Yusni Mohd. Yusof, 43, dan sepupunya, Mohd. Khair Ismail, 38, pergi ke pulau berkenaan untuk menjaring ikan sebelum tidak pulang semula ke rumah masing-masing.
Keluarga mereka yang bimbang dengan keadaan tersebut membuat laporan polis sebelum operasi dan gerakan mangsa dilakukan melibatkan pihak maritim, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, polis marin dan nelayan setempat. – K! ONLINE











