Pada awal 1986 saya hadir di Seminar Sastera Melayu-Indonesia di Pekanbaru, Riau. Saya membentangkan kertas kerja Firdaus Abdullah: Antara Tradisi dan Moden. Pada waktu rehat saya singgah di ruang pameran buku di balkoni.
“Nampaknya bapak minat dengan Tuanku Tambusai?” tegur gadis penjual itu.
“Ya, lama sudah saya akrab dengan nama Tuanku,” jawab saya.
“Saya teka. Ada hubungan darah dengan Tuanku Tambusai ya,”
“Nenek saya, Sitiamin,”
“Ohh, makanya,”

Saya membeli buku itu. Saya ingin membacanya sesegera mungkin. Kertas kerja saya mengundang pembahasan yang panjang lebar daripada yang hadir. Maklumlah tokoh yang saya bicarakan itu berdarah minang. Tetapi romantismenya memikat yang hadir. Kini fokus saya tertumpu kepada Tuanku Tambusai Sang Harimau Rokan. Bapanya seorang pemimpin agama Islam. Dia tiba di Rambah dan berkahwin dengan Munah berasal dari Kandang Kopuh, Tambusai. Mereka dikurniai anak yang dinamakan Muhammad Salleh. Sultan melantiknya menjadi Imam.
Semenjak kecil lagi Muhammad Salleh dididik selok belok agama Islam, mengaji al-Quran dan memahami hadis Rasulullah. Dia juga diajar menunggang kuda. Sampai fasihlah Muhammad Salleh bukan sahaja sebagai pendakwah tetapi juga tangkas menunggang kuda dan bermain senjata. Pada mulanya dia dikenal sebagai pendakwah Islam di Dalu-Dalu dan di sekitar Rokan. Tetapi pengajar yang banyak di sana tidak begitu menyukai kehadirannya. Maklumlah pengaruh Muhammad Salleh mula mengukuh di Rokan.
Pilihannya sekarang adalah untuk melawan Belanda. Mereka mahu menawan Dalu-Dalu dan sekitar Rokan. Tuanku Tambusai menyiapkan pasukannya. Dia bertahan tak mahu Dalu-Dalu jatuh. Kini pasukannya bergabung dengan pasukan Tuanku Imam Bonjol dan Tuanku Rao. Biar menjadi satu. Tidak siapa yang menjadi ketua. Masing-masing bersepakat. Musuh utama adalah Belanda. Memang Tuanku Tambusai ulama terbilang namun namanya masyhur kerana sikapnya yang tidak mahu bertolak ansur dengan Belanda. Belanda mesti dikalahkan. Sekali penjajah, selamanya penjajah. Bangsa penjajah lintah yang menghisap darah.
“Kita sikat mereka. Kita juga anak lelaki. Pantang mundur!” teriak Tuanku Tambusai. Tuanku pernah berguru Ilmu Persilatan dengan Muhammad Abdul Wahab sewaktu di Mekah. Gelaran Tuanku Tambusai diberikan oleh Sultan sekembalinya dari Tanah Suci itu. Dia sendiri dalam kalangan Belanda dikenali sebagai Padri Harimau Rokan. Tuanku Tambusai mengislamkan masyarakat Batak. Juga di sekitar Lubuk Sikaping, Padang Lawas, Angkola dan Mandailing.
Tentulah orang Batak tidak senang dengan kegiatan Tuanku Tambusai dan komponennya Tuanku Imam Bonjol dan Tuanku Rao. “Bikin susah kita semua. Nyahkan mereka dari bumi kita. Nyahkan Islam!” teriak mereka. Ada penentangan yang seru juga daripada pihak Tanah Batak. Kumpulan Tuanku Tambusai menyerang Fort Amerogen daripada Inggeris. Mereka berjaya menaklukinya.
“Kita pantang mundur. Kita ada Allah, kita anak lelaki dari Rokan, dari Bonjol dari Rao. Ayuh serang!” teriaknya sambil mengibar-ngibarkan pedangnya. Sikapnya keras, tidak ada kompromi. “Tidak! Tidak! Tiada rundingan damai. Satu sahaja Inggeris dan Belanda mesti keluar dari Riau,” katanya apabila ada wakil penjajah itu mahukan perundingan diadakan. Tetapi pada tahun 1823 mereka menyerang kedudukan Inggeris di Natal. Inggeris bijak bertindak 1824 ada perjanjian untuk serahkan Natal ke Belanda. Taktik Tuanku Tambusai menyekat makanan daripada sampai kepada tentera Inggeris dan Belanda dengan mengepung Natal dan Air Bangis.
Dengan helah yang licik mereka dapat menyergap Tuanku Rao dan membunuhnya. Kematian Tuanku Rao membuatkan Harimau Rokan ini tambah mengaum. Apabila penjajah dapat merampas kembali Amerogen, Tuanku Tambusai berkubu habis-habisan di Dalu-Dalu. “Ini benteng terakhir kita. Pertahankan. Tiada rundingan damai. Mereka membunuh Tuanku Rao. Bonjol jatuh ke tangan Belanda pada 1837. Tuanku Imam Bonjol ditangkap. Pada tahun 1838 berlakulah pertempuran dahsyat di Raja Kondang. Raja Kondang sehari perjalanan dari Dalu-dalu. Dalu-Dalu terus dipertahankan.
Raja Gedombang (Mandailing) dan Temenggung Kartoredjo selepas kalah masuk dalam jebak Belanda. Tinggallah Tuanku Tambusai mengaum sendirian. Dialah Padri Harimau Rokan. Pilihannya berjuang. Pertahankan Dalu-Dalu. Bujukan Kolonel Elout ditolak mentah-mentah.
Dalu-Dalu dihujani dengan tembakan meriam bertalu-talu. Siang malam. Malam Dalu-Dalu diterangi oleh percikan bom Belanda. Riuh rendah dengan pekikan lolongan dengan suara takbir silih berganti. “ Subhanallah, Alhamdulillah, AllahuAkbar!”
“Ada utusan dari Tanah Melayu Tuanku!” kata orang kanannya. “Pertahanan kita makin goyah…mereka dah siap. Kapal dan perahu sedia membawa kita ke Tanah Melayu!”
Allah yang empunya kun fayakun.
Dengan cucuran air mata, tanah bertuah Dalu-Dalu dan Rokan akan ditinggalkan. Semua sanak saudara sudah siap dengan gendongannya. Pada dinihari yang pilihan ini, dengan dada yang sebak dan juraian air mata, susup-sasap rombongan Tuanku Tambusai melalui jalan rahsia sampai ke gigi sungai menuju laut dan Selat Melaka.
Mereka menuju ke Tanjung Tuan, ada yang ke Kolang dan ada yang ke Teluk Kemang.
Tutup mulut jika ada yang bertanya jangan hebahkan keturunan kita. Kita kini pengungsi yang lata. Inilah takdir yang menimpa Tuanku Tambusai Harimau Rokan yang mengenal diri, mengenal maruah dan demi Cinta kepada Alif Ba Ta. “Pantang mundur. Inilah tanah dan bumi bertuah Dalu-dalu. Inilah Rokan. Inilah Riau Tanah Ibu pertiwi kita. Biar putih tulang jangan putih mata. Biar kita diamuk bedil dan peluru.”
Kumpulan Tuanku Tambusai mastautin di Rasah, Negeri Sembilan. Ada yang naik di Kolang, lalu ke Ulu Gombak tempat Khatib Khoyan yang asal dari Rao. Ada yang sampai ke Ketari. Ada yang sampai ke Setiawan, ada yang menetap di Linggi. Bertaburanlah legasi Tuanku Tambusai di Semenanjung Tanah Melayu. Ini pun negeri Melayu. “Kita satu asalnya berdarah Melayu!” kata Tuanku Tambusai.
Pada 7 Ogos 1995, pemerintah Indonesia mengurniakan Bintang Bela Pahlawan Nasional mengiktiraf jasanya. Syeikh Muhammad Salleh atau Harimau Rokan ini meninggal dunia pada 18 November 1882 dalam usia 98 tahun. Disemadikan di Rasah, Seremban Negeri Sembilan.











