Berikut adalah wawancara dengan Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor.
MINGGUAN: Kenapa berlakunya rusuhan di Indonesia, adakah ia berpunca daripada sentimen agama atau perkauman yang telah dimainkan team Prabowo dan Sandiaga sejak waktu berkempen lagi?
NADZRI: Sebahagiannya benar, kem Probowo banyak menggunakan sentimen agama dan budaya dalam Pilpres kali ini.
Malah Jokowi juga bertindak balas terhadap politik itu dengan meletak ulama sebagai calon naib presiden beliau. Tetapi kita juga perlu melihatnya dari sudut yang lebih besar.

Kemenangan Jokowi sekali lagi, adalah kemenangan tipis. Ini memperlihatkan populariti dan sokongan terhadap pihak pencabar juga besar. Kekalahan tipis dua kali berturut-turut kem Probowo tentu sekali sangat mengecewakan mereka, khasnya kepada para penyokong.
Diiringi dengan beberapa tuduhan salah laku pihak pemerintah dan pihak penyandang, maka kekecewaan itu digandakan dengan sentimen etno-nasionalis dan dimanifestasi ke jalanan.
Adakah rusuhan ini serupa dengan yang berlaku 21 tahun lalu? Adakah rusuhan ini berpotensi merebak ke provinsi lain termasuk Malaysia?
NADZRI: Saya ingat tidak seteruk itu kerana pihak tentera dan polis memainkan peranan penting pada waktu ini.
Ini berbeza semasa zaman Suharto digulingkan dahulu. Saya fikir kemungkinan ia merebak ke Malaysia juga kecil. Paling tinggi mungkin demonstrasi akan diadakan di pejabat Kedutaan Indonesia.
Adakah langkah yang diambil untuk menyekat rusuhan ini oleh pihak berkuasa Indonesia mencukupi atau perlu bertindak lebih tegas?
NADZRI: Konsep perkadaran sangat penting di sini, kekerasan perlu diperimbangkan dengan ancaman yang nyata dan pengiktirafan terhadap hak asasi.
Namun tindakan kekerasan oleh penguasa Indonesia nampaknya tidak dapat dielakkan, walaupun mungkin melebih-lebih dalam sebahagian tindakan yang telah memungkin kematian enam orang penunjuk perasaan. Namun untuk adil kepada pihak penguasa, demonstrasi yang berlaku itu tidak lagi aman, malah ia adalah rusuhan yang menyebabkan huru-hara dengan melibatkan aktiviti merosak dan membakar harta benda awam secara sengaja.
Dalam hal ini, saya lihat pemerintah di Indonesia sudah cukup tegas cuma perlu pemerintah untuk mendapatkan konsensus dengan pihak pencabar dan media untuk meredakan keadaan semasa sementara mendengar keputusan Mahkamah Konstitusi. Aspek kematangan politik perlu dipupuk oleh semua pihak dengan penuh tanggungjawab bagi menerap nilai demokratik di kalangan rakyat Indonesia sekaligus membawa kestabilan.
Pasukan Prabowo dan Sandiaga mendakwa berlakunya penipuan dalam kiraan Pemilu lalu, adakah kemungkinan ini berlaku?
NADZRI: Ada beberapa laporan telah dibuat dan ia juga telah pun dibawa ke mahkamah. Antara yang ketara adalah daftar pengundi yang bermasalah dan politik pembangunan kem Probowo. Namun, buat masa ini, saya ingat kita perlu menunggu proses itu dibicara di mahkamah.
Sejak tercetus rusuhan ini banyak pihak mula melihat dengan penuh minat hala tuju sistem demokrasi di Indonesia, adakah ini petunjuk sistem tersebut akan mengundur atau terus maju?
NADZRI: Meskipun menggunakan sistem demokrasi sejak penghujung 1990-an, pendemokrasian di Indonesia masih di dalam transisi dan belum lagi mengukuh, khasnya dari sudut budaya masyarakatnya.
Hal ini membangkitkan banyak persoalan, pertama sekali kerangka masyarakat di Asia tidak sama dengan di Barat.
Kedua, proses pendemokrasian juga mengambil masa panjang. Ketiga, masalah pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesaksamaan juga adalah isu yang mendasar di Indonesia.
Dari sudut tranformasi politik, kita nampak walaupun ada banyak kemajuan yang dicapai, namun terdapat juga banyak kekurangan. Masalah rasuah, politik penaungan dan politik etnik serta agama umpamanya, masih meluas di Indonesia. Negara itu nampaknya terperangkap dengan ketidaktentuan dalam era transisi demokrasi buat masa ini.
Sejak beberapa hari lalu Indonesia menghalang akses kepada media sosial termasuk terkini aplikasi Whatsapp, adakah langkah ini menjejaskan sistem demokrasi Indonesia dari segi kebebasan bersuara?
NADZRI: Ini dilihat oleh pemerintah Indonesia sebagai sesuatu yang perlu, sebagai langkah sementara untuk meredakan huru-hara dan mewujudkan kestabilan.
Kerana keadaan kecemasan dan keganasan yang tercetus, nampaknya pihak pemerintah tidak banyak cara lain selain membekukan kebebasan bersuara dan ‘media sosial’ buat sementara untuk mengelakkan hasutan jenayah dan keganasan dicetuskan.
Apakah pengajaran kepada rakyat Malaysia?
NADZRI: Kita perlu bersikap terbuka dan berlapang dada apabila mendapat keputusan yang tidak memihak kepada kita. ‘Permainan’ di dalam pilihan raya bukanlah hanya sekali dan kita boleh terus mencuba dalam pilihan raya akan datang. Kalah sekali tidak bermakna kalah selama-lamanya dan ‘negara tergadai’.
Negara kita ada undang-undang, dan kita semua termasuk pemimpin dan raja juga termaktub dengan undang-undang itu.
Namun rakyat perlu secara terus-terusan menyemak kekuasaan pemerintah dengan penuh istiqamah, supaya mereka tidak terlalu berkuasa, telus dan responsif dengan kehendak rakyat.
Jikalau perlu, kita boleh mengambil tindakan di mahkamah untuk mengimbangi tingkah laku kerajaan. Kita juga perlu berani bersuara dan boleh juga berhimpun jika perlu, namun mestilah dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang negara. Pada masa sama, kita juga boleh menyatakan perbezaan tetapi dengan cara tertib dan bertamadun.
Kita juga harus ingat tanggungjawab moral dan nasional yang kita ada, sebagai rakyat di dalam sebuah negara pelbagai etnik, janganlah dihasut dan memburukkan etnik lain dan jangan pula berpolitik di dalam kerangka perkauman yang sempit.Sebaliknya berpolitiklah dengan penuh tanggungjawab dalam kerangka bernegara dan berkongsi masa depan dengan semua.











