Kita hanya mahu kira semula undi - Utusan Malaysia

Kita hanya mahu kira semula undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menang jadi arang, kalah jadi abu. Selepas tempoh 21 tahun negara jiran, Indonesia kembali bergolak akibat kektidaktentuan politik pasca pemilihan umum (Pemilu) 2019 selepas pasukan nombor 02, Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno tewas di tangan pasukan nombor 01 yang juga penyandang, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan pasangannya Ma’ruf Amin sehingga menyebabkan ada dalam kalangan penunjuk perasaan maut.

Apa sudah jadi dengan sistem demokrasi di Indonesia sehingga berlakunya situasi tidak diingini ini terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh mulia ini, bagi mendapatkan gambaran lebih jelas wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurufoto, AZMAN AHMAD telah menemu bual Ketua Dewan Pimpinan Luar Negeri Parti Gerindra Malaysia, Darsil Abdul Muis di pejabatnya di Petaling Jaya dan mendapatkan pandangan daripada Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor berhubung isu ini menerusi emel, semalam.

Isu perkauman juga sudah lama tiada sejak tamatnya tarikh pengundian Pemilu 2019, sekarang berbalik kepada isu mengapa Prabowo yang telah menang tiba-tiba kalah dan mengapa kecurangan atau penipuan yang banyak di provinsi-provinsi terlibat tidak ditangani oleh KPU biarpun setelah menemui bukti kukuh, sebaliknya mereka menyebut ini disebabkan salah hitung dan sebagainya.
 

Memuatkan artikel berkaitan…

MINGGUAN: Bagaimana situasi Pemilu yang telah berlangsung baru-baru ini?

DARSIL: Keadaan ini jauh lebih buruk dari tahun 2014 banyak kejanggalan dan penipuan yang kita temui di lapangan seperti pertambahan kertas undi secara tiba-tiba, kertas undi yang disalin cetak dan malahan ada kertas undi yang hilang dan dibakar. Selain itu, terdapat juga keputusan undian yang diubah.

Kenapa situasi ini berlaku, di manakah silapnya?

DARSIL: Kami di pihak pasukan Prabowo dan Sandiaga sudah mengikuti segala peraturan dan aturan yang ditetapkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) tetapi di pihak Jokowi dan Ma’ruf mereka berusaha untuk menang dengan apa jua cara maka dari situ terjadi konflik seperti sekarang.

Apakah punca rusuhan di Jakarta berlaku?

DARSIL: Sebelum ini KPU telah berjanji untuk mengumumkan keputusan Pemilu pada siang 22 Mei lalu tetapi di saat-saat akhir mereka mengumumkan keputusan ini pada waktu tengah malam. Ini satu kejanggalan, lagi pun dalam sistem hitungan yang dibuat sebenarnya Prabowo dan Sandiaga telah menang dengan 46 peratus undian manakala Jokowi dan Ma’ruf hanya memperoleh 43 peratus undian.

Keputusan ini diperoleh daripada hitungan cepat yang dibuat di provinsi-provinsi (wilayah) di seluruh Indonesia, dalam kiraan ini Prabowo dan Sandiaga telah menang di 21 provinsi dan kami ada bukti kemenangan ini.

Pada masa sama, banyak kesalahan dalam pengiraan undi dibuat oleh KPU dengan menyebelahi Jokowi walhal pada dasarnya Prabowo yang telah menang.

Jadi ini punca Prabowo mencabar keputusan Pemilu di Mahkamah Perlembagaan, Jumaat lalu?

DARSIL: Ya, beliau akan mencabar keputusan tersebut dan sekarang pun beliau tidak mengakui kekalahan kepada Jokowi dan masih belum tandatangan borang kekalahannya.

Bagaimana proses di Mahkamah Perlembagaan berlangsung?

DARSIL: Kami daripada Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo dan Sandiaga akan membawa bukti-bukti penipuan Pemilu ke mahkamah dan kemudiannya mahkamah ini akan mengkaji semula keputusan terbabit.

Berapa lama pula perlu menunggu keputusan ini?

DARSIL: Perkara ini terpulang kepada berapa banyak kes yang akan diajukan oleh pihak Prabowo dan Sandiaga bersama bukti yang ada termasuk video melibatkan penipuan ini. Dijangkakan dalam tempoh sebulan barulah perkara ini dapat diselesaikan.

Jadi, adakah dalam tempoh sebulan ini akan terus berlaku situasi tidak menentu di Indonesia?

DARSIL: Berkemungkinan akan berlaku lagi rusuhan. Masalah sekarang yang merusuh bukan BPN tetapi rakyat di provinsi-provinsi di seluruh Indonesia yang turun ke Jakarta untuk menyampaikan rasa ketidakpuasan hati mereka kepada KPU.

Bagaimana pula tuduhan pasukan Prabowo dan Sandiaga memainkan sentimen agama dan perkauman sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan?

DARSIL: Dakwaan ini tidak benar, yang menjadi masalah sekarang ialah jumlah undi telah diubah dan sokongan kepada Prabowo dan Sandiaga telah banyak dicuri manakala undian kepada Jokowi dan Ma’ruf telah meningkat naik, jadi sekarang ini pihak Jokowi dan Ma’ruf bukan berhadapan dengan parti-parti di bawah Koalisi Indonesia Adil Makmur yang disokong oleh lima buah parti iaitu Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Demokrat dan Parti Berkarya tetapi mereka berhadapan dengan rakyat yang berasakan diri mereka ditipu.

Isu perkauman juga sudah lama tiada sejak tamatnya tarikh pengundian Pemilu 2019, sekarang berbalik kepada isu mengapa Prabowo yang telah menang tiba-tiba kalah dan mengapa kecurangan atau penipuan yang banyak di provinsi-provinsi terlibat tidak ditangani oleh KPU biarpun setelah menemui bukti kukuh, sebaliknya mereka menyebut ini disebabkan salah hitung dan sebagainya. Isunya sekarang, salah hitung bukan berlaku sekali atau dua kali tetapi terlalu kerap.

Terdapat tuduhan penunjuk perasaan ini diberikan upah enam juta rupiah, sejauh manakah kebenarannya?

DARSIL: Tidak benar tuduhan ini, kebanyakan penunjuk perasaan ini hadir secara sukarela dan membuat protes secara aman namun begitu, dalam tunjuk perasaan ini ada pihak tidak bertanggungjawab yang dibayar oleh pihak tertentu telah bertindak merusuh untuk mencetuskan suasana huru-hara dan tidak selamat. Pada masa sama, mereka juga sengaja mengadu domba antara peserta penunjuk perasaan dan pihak polis.

Terdapat kemungkinan rusuhan ini akan merebak ke tempat lain?

DARSIL: Buat masa ini protes ini hanya dilaporkan berlaku di Jakarta dan Kalimantan, kemungkinan besar jika protes ini berlanjutan ia akan merebak ke provinsi-provinsi lain selepas ini.

Sebelum ini Prabowo sendiri menyebut tidak akan berlaku sebarang rusuhan jika beliau tewas tetapi kenapa situasi berbeza berlaku apabila beliau kalah?

DARSIL: Ini kerana Pemilu kali ini tidak berjalan lancar, adil dan jujur. Ada banyak bukti penipuan yang ditemui oleh BPN termasuk kami di Malaysia juga banyak menemui bukti penipuan walhal kami sudah pasti akan menang tetapi secara tiba-tiba tewas.

Sekiranya Pemilu kali ini berjalan dengan adil dan jujur kemungkinan tinggi Prabowo akan menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh rakyat Indonesia.

Adakah situasi ini akan menyebabkan keadaan ekonomi dan politik tidak stabil?

DARSIL: Ekonomi Indonesia akan mengalami kejatuhan manakala politik Indonesia akan menjadi panas seperti yang berlaku sekarang.

Baru-baru ini, kerajaan Indonesia menyekat penggunaan media sosial, adakah ini akan menyebabkan ruang demokrasi semakin terhakis?

DARSIL: Di Indonesia sekarang rata-rata rakyat tidak lagi mempercayai berita di televisyen, jadi selepas media sosial disekat ia telah menyebabkan banyak rakyat tidak dapat menunjukkan protes kepada pemerintah.

Berikutan itu, rakyat Indonesia terpaksa menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menyebarkan sebarang maklumat.

Jika situasi ini berterusan adakah keadaan Indonesia bakal menjadi huru-hara?

DARSIL: Indonesia tidak akan menjadi huru-hara kerana protes ini dibuat hanya untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pemilu dan minta dikira semula, itu sahaja.

Bagaimana reaksi Jokowi sejak masalah ini melanda?

DARSIL: Jokowi sekarang lebih banyak mendiamkan diri dan tidak mengeluarkan banyak komen. Kita pun tidak tahu apa yang akan dibuat oleh beliau pada masa ini.

Nasihat kepada penyokong Prabowo dan Sandiaga di Malaysia?

DARSIL: Saya selaku Ketua Gerindra dan Ketua BPN Koalisi Indonesia Adil Makmur di Malaysia menasihatkan rakyat Indonesia di sini supaya tidak terikut-ikut dengan keadaan yang berlaku di sana kerana kami sedar kami merantau dan bekerja di sini.

Setakat ini hubungan kami dengan penyokong pasukan Jokowi dan Ma’ruf baik dan kami selalu berhubung untuk bertanya khabar antara satu sama lain, apatah lagi sekarang di bulan Ramadan kami lebih banyak menumpukan kepada ibadah dan mendidik diri ini supaya lebih bersikap sabar. Insya-Allah keadaan di sini terkawal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini