KOTA BHARU – Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (Khadam) dan UMNO Bahagian Ketereh hari ini meluangkan masa membersih rumah pelakon, pelawak dan penggiat seni dikir barat Kelantan, Mohd Idris Berahim,59, atau lebih dikenali sebagai ‘Abe Jali Salam Pantai Timur’ di Kampung Chap, Bachok dekat sini.
Ketua UMNO Bahagian, Tan Sri Annuar Musa berkata, program gotong-royong itu telah dilaksanakan bermula pagi ini sehingga tengah hari bagi membersihkan dan menceriakan rumah Abe Jali.
“Kita telah keluarkan Abe Jali dan ibunya yang berusia 80 tahun sebelum mencuci seluruh rumah dan segala perkakas termasuk pinggan mangkuk.
“Kita juga memasang tikar getah selain menukar bantal dan selimut yang baru serta memasang langsir rumahnya. Kawasan keliling rumah juga di bersihkan,” katanya menerusi status di laman sosial Facebooknya hari ini.
Annuar berkata, program gotong-royong itu juga adalah sebagai tanda ingatan mereka.
“Itu sedikit pertolongan yang dapat kami usahakan tanda ingatan dan persahabatan kami di Ketereh.
“Semoga Abe Jali melalui Ramadan dengan lebih ceria dan gembira serta dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan lebih sempurna,” katanya. – K! ONLINE











