Dalam kehidupan hari ini, ikhtilaf atau perbezaan pendapat merupakan lumrah yang tidak dapat dielakkan. Namun ia perlu diuruskan dengan cara yang bijak dan berhemah. Pendekatan konsep berlapang dada adalah elemen terpenting yang mesti dimiliki bagi pihak-pihak yang terlibat.
Pendekatan yang dipamerkan dalam melontarkan idea, komen dan cadangan perlu diuruskan sebaiknya bagi mengendalikan emosi, tatacara dan fizikal yang secara tidak langsung dapat mengelakkan konflik serta tidak mengundang rasa sangsi dalam komunikasi khususnya di media sosial.
Dengan ledakan teknologi hari ini, sesuatu maklumat ataupun berita diperolehi dengan begitu pantas melalui saluran media sosial sama ada di facebook, Whatsapp, twitter, Instagram dan sebagainya.
Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila sesuatu isu atau konflik yang timbul dibahaskan dalam media sosial tanpa batasan adab dan akhlak.
Malah pelbagai kata-kata kesat yang tidak sepatutnya diungkapkan ‘terkeluar’ tanpa ada rasa sifat malu dan segan kerana kononnya dibataskan oleh ‘alam maya’.
Perasaan ingin dilihat ‘lebih’ pada mata masyarakat juga adalah penyumbang kepada perasaan ego sehingga hilangnya rasa merendah diri dan menghargai orang lain. Tanpa menyedari setiap perkataan, perbuatan dan tingkahlakunya akan dinilai dan dihisab di akhirat kelak.
Keadaan ini mungkin berbeza, jika konflik tersebut diuruskan secara bersemuka dan berlapang dada, kerana di sana masih ada adab dan etika yang diajarkan oleh orang-orang tua dan juga agama kita.
Dalam meraikan sesuatu isu atau konflik sosial yang timbul, perkara utama yang seharusnya dimiliki oleh seorang insan muslim adalah menjauhi sifat taksub (fanatik). Sifat yang sentiasa meletakkan diri atau kelompok adalah benar, di mana ia melihat orang lain semuanya salah. Hanya dia yang lebih baik.
Sikap fanatik dan taksub ini amat dilarang oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul. (al-Ma’idah: 77).
TAKSUB
Sifat taksub ini boleh diumpamakan seperti bara api yang memakan sedikit demi sedikit sifat-sifat mahmudah dalam amalan kebaikan. Akhirnya boleh membawa konflik yang mengancam agama, budaya dan masyarakat.
Apabila ia menjadi normal atau kebiasaan dalam masyarakat, maka masyarakat akan memandang bahawa kehidupan ini tiada garis sempadan agama. Lalu terjadilah istilah al-qulluw (melampau) dalam tindak tanduk, gaya percakapan dan penulisan apatah lagi dalam urusan agama.
Perbuatan sebegini ditegur oleh junjungan Nabi SAW melalui hadis baginda yang bermaksud: “Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana mereka melampau dalam agama”.
Agama telah memberi garis panduan yang jelas berkait tentang kaedah menguruskan ikhtilaf, perbezaan pendapat dan konflik ini. Antaranya melalui kaedah tabayyun atau disebut sebagai proses menyelidik kesahihan dan kebenaran sesuatu konflik yang berlaku terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan dan pernyataan.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat : 6).
Imam al-Syaukani rahimahullah berkata: “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adakah memeriksa dengan teliti yang dimaksudkan dengan berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.”
Selain itu, agama juga memberi panduan kepada kita bahawa sesuatu perselisihan atau perbezaan pendapat perlu dirujuk kepada pandangan atau pendirian agama. Bukan sebaliknya disandarkan kepada sifat amarah dan hawa nafsu, kerana ia mengundang sifat buruk, kebencian dan perbalahan sepertimana yang diwarisi oleh musuh utama manusia iaitu iblis dan syaitan.
KEMBALI KEPADA AGAMA
Justeru dengan kembali kepada agama, batasan iman dan syarak akan menjadi sandaran dan seterusnya dapat membimbing dan mengawal manusia daripada bertindak mengikut hawa nafsu yang akhirnya akan menjerumuskan mereka ke dalam kebinasaan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (An-Nisa’: 59)
Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, marilah kita meletakkan asas agama yang berlandaskan iman dan ihsan dalam semua tindakan dan tutur kata.
Ini kerana hakikatnya kita semua berada di bawah kekuasaan dan keagungan Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya yang kerdil hanya mampu menjalankan tugas dan amanah yang dititipkan sebagai khalifah di muka bumi.
Kembalikanlah kegemilangan ummah agar kekhilafan atau konflik yang berlaku itu bukanlah bahana tetapi ia satu rahmat yang boleh dinikmati berpanjangan hinggalah ke syurga yang abadi.
Ia sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang bertakwa. (ali-Imran: 133)
Marilah kita bangunkan nilai-nilai kebaikan dalam diri, agar di akhirat kelak kitalah insan yang menunggu sahabat-sahabat kita untuk memasuki syurga yang sama dengan asbab rahmat Allah SWT, sepertimana di dunia sebelumnya.
Kita meraikan segala kekhilafahan yang berlaku dengan sifat terbuka minda, tabayyun, berlapang dada dan berlandaskan ilmu yang benar. Wallahu ‘alam.
- Muhammad Tarmizi Abdul Rahman ialah Pengarah Pusat Islam, UPSI dan Muhammad Hamdi Azmi ialah Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, UPSI










