MILAN 24 Mei – Atalanta semakin menghampiri untuk melakar sejarah melayakkan diri ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sepanjang 111 tahun usia kelab itu menjelang perlawanan terakhir Serie A, musim ini, menentang Sassuolo.
Bagaimanapun, stadium The Bergamo yang sedang dinaik taraf menyebabkan Atalanta yang sepatutnya bermain di laman sendiri terpaksa beraksi di Stadium Maipei yang merupakan laman Sassuolo dan sekiranya Atalanta meraih kemenangan, slot ke Liga Juara-Juara, musim depan menjadi milik mereka.
Skuad bimbingan Gian Piero Gasperini itu antara empat pasukan yang bersaing bagi merebut dua slot berbaki ke Liga Juara-Juara pada perlawanan terakhir musim, hujung minggu ini.
Juara Serie A, Juventus bersama pasukan di tangga kedua, Napoli telahpun melayakkan diri lebih awal, manakala empat pasukan yang masih bersaing hanya dipisahkan tiga mata sesama mereka untuk memburu tempat ke kejuaraan elit Eropah tersebut.
Atalanta kini menghuni kedudukan ketiga dengan 66 mata daripada 37 perlawanan, mengatasi Inter Milan yang turut berkongsi kutipan sama, manakala AC Milan di tempat kelima setelah mengumpul 65 mata dan AS Roma pula memiliki 63 mata.
Anak-anak buah Gasperini masih belum tewas dalam saingan liga sejak tiga bulan lalu, dan mereka memperoleh satu mata penting, minggu lepas apabila mengikat Juventus 1-1 di Stadium Allianz.
“Liga Juara-Juara merupakan sasaran utama kami, tetapi kami tidak boleh berfikir yang kami sudahpun melayakkan diri,” kata Gasperini mengingatkan para pemainnya.
Atalanta masih belum tewas dalam sembilan perlawanan berturut-turut Serie A menentang pasukan yang menghuni tangga ke-10 Sassuolo, dan mereka mencatat tiga kemenangan terakhir berturut-turut. – AFP











