KUALA LUMPUR 24 Mei – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan pelaksanaan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 sebagai usaha refomasi terhadap semua pihak dibawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pindaan itu juga adalah demi kebaikan semua pihak khususnya di peringkat kepemimpinan termasuk 900,000 ahli dalam agensi tersebut.
Tegasnya, beliau juga perlu lebih berani dalam melakukan perubahan dengan melihat usaha untuk meremajakan kepemimpinan dalam agensi berkenaan.
“Saya membuat pindaan ini setelah mengadakan perbincangan di peringkat tertinggi dalam kementerian, LPP dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
“Sebagai seorang menteri, saya mesti berani melakukan perubahan ini untuk melihat bahawa peladang ini perlu diremajakan kepemimpinannya dan saya mengambil tanggungjawab penuh ke atas pindaan perlembagaan ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis Berbuka Puasa bersama menteri dengan LPP di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan Pengerusi Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi. – UTUSAN ONLINE











