KUALA LUMPUR 24 Mei – Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong ditempelak kerana berpura-pura tidak membaca laporan berita mengenai biasiswa yang diumumkan oleh pihak kerajaan kepada pelajar dari Palestin untuk menyambung pengajian di negara ini.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata, kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi secara jelas menyatakan biasiswa tersebut adalah sumbangan daripada pihak universiti swasta dan bukannya daripada dana kerajaan.
Oleh itu, tegasnya, kenyataan yang dibuat Chee Hiong sebenarnya tidak lebih daripada percubaan untuk mempolitikkan isu tersebut.
“Amalan menawarkan biasiswa kepada pelajar antarabangsa bukanlah sesuatu yang luar biasa malah biasiswa juga ada ditawarkan kepada pelajar di negara ini.
“Maka, saya menggesa beliau mengkaji dahulu jumlah biasiswa yang ditawarkan pihak swasta kepada warganegara ini berbanding pelajar luar negara sebelum mengeluarkan kenyataan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyatan Chee Hiong yang mempersoalkan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung perkara itu baru-baru ini.
Chee Hiong malah mendakwa, kononnya Kerajaan Persekutuan sering mengeluh tentang kekurangan wang tetapi mempunyai dana untuk diberikan biasiswa kepada pelajar Palestin.
Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, masyarakat dunia sememangnya sudah mengetahui rakyat Palestin adalah bangsa yang paling tertindas, maka tiada apa yang perlu dicemburui berhubung pemberian biasiswa tersebut.
Jelasnya, tawaran biasiswa itu sebenarnya memberi peluang kepada mereka yang berkelayakan untuk mendapatkan pendidikan di negara yang aman damai tanpa sebarang peperangan.
“Sepatutnya usaha murni universiti ini diraikan dan disokong, bukannya dipertikaikan. Perkara itu selari dengan pendirian Malaysia yang berdiri teguh menyatakan sokongan kepada Palestin untuk terus mengutuk tindakan zalim rejim Zionis terhadap rakyat Palestin,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











