Tiada lagi bekalan air orang asli tercemar? - Utusan Malaysia

Tiada lagi bekalan air orang asli tercemar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Mei – Aktiviti melibatkan kerja tanah oleh Syarikat Rajang Budiman Sdn. Bhd. di kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong, Gombak, Selangor sehingga mengakibatkan bekalan air bukit tercemar baru-baru ini telah dihentikan.

Difahamkan, Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah (PHDST) telah mengeluarkan surat henti kepada syarikat berkenaan kerana melakukan kesalahan membina jalan hutan tanpa kebenaran serta menyebabkan pencemaran air bukit yang merupakan bekalan air untuk kegunaan Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Buloh.

Exco Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Hee Loy Sian berkata, sehingga Selasa lepas, tiada kerja-kerja tanah dijalankan dan syarikat berkenaan mengaku bersalah serta akan bertanggungjawab untuk melakukan tindakan pembetulan segera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Satu mesyuarat bersama penduduk orang asli terlibat telah diadakan pada Selasa lepas. Kesalahan tersebut akan diambil tindakan berdasarkan undang-undang semasa melalui kertas siasatan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan syarikat itu bakal memastikan bekalan air bersih dapat diagiihkan kepada semua penduduk KOA Sungai Buloh.

“Syarikat terlibat bersetuju mendapatkan air bersih daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) secara terus kepada penduduk terjejas. Pada masa sama, pihaknya juga akan melakukan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan kawasan aliran sungai yang ditolak supaya bekalan air bukit kepada penduduk dapat diselesaikan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, semua pihak telah bersetuju dengan kaedah penyelesaian sementara dan pelaksanaan perlu dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Jelasnya, kerajaan negeri akan sentiasa memantau dan memastikan keadaan pembangunan terutamanya melibatkan kawasan pinggiran hutan serta penempatan orang asli di seluruh Selangor.

“Kerajaan juga tidak akan berkompromi dengan segala tindakan salah laku pihak tidak bertanggungjawab ke atas kawasan hutan simpan kekal yang menjadi khazanah dan simpanan alam sekitar.

“Bagi menyelesaikan masalah sedemikian, saya akan cuba membawa perkara ini kepada Syabas serta kerajaan negeri untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang seperti pembekalan air mentah terawat yang bersih dan selamat dapat direalisasikan masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini