KUALA LUMPUR 24 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM75,000 bagi membantu golongan asnaf dan fakir miskin sempena bulan Ramadan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, sumbangan itu diagihkan kepada 500 orang penerima dalam kalangan ahli komuniti di sekitar ibu kota.
“DBKL turut memberi bantuan kepada 26 penjaja Bazar Masjid India yang terlibat dalam kebakaran Selasa lalu. Mereka diberi sumbangan antara RM3,000 hingga RM5,000 setiap orang.
“Diharapkan, bantuan itu dapat meringankan beban para penerima bagi melakukan persiapan menyambut Hari Raya,” katanya selepas menyampaikan Sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur 2019.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. – UTUSAN ONLINE.











