PUTRAJAYA 23 Mei- Sebanyak 25 pelajar autisme dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur diraikan dalam program SASUKE Prihatin (SASUCARE) anjuran Sasuke Premium Outlet di sini baru-baru ini.
Program yang mendapat kerjasama Kindness Malaysia itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sasuke Premium Outlet bagi membantu masyarakat khususnya golongan yang kurang bernasib baik.
Pengarah Sasuke Premium Outlet, Nurul Suhaida Abu Sopian, berkata program CSR itu adalah yang terbesar pernah diadakan pihaknya dan sumbangan wang tunai sebanyak RM4,773 turut disampaikan kepada pelajar terbabit.
“Program yang diadakan ini adalah hasil sokongan pembeli yang membelanjakan sebanyak RM30 di semua cawangan Sasuke Premium Outlet, di mana RM1 daripadanya didermakan untuk tabung SASUCARE.
“Selepas pelajar autisme, kita akan salurkan sumbangan kepada Rumah Titian Kaseh, Ibu Tunggal, Kuala Lumpur serta Rumah Penjagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas, Puchong, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Nurul Suhaida, kempen SASUCARE juga diadakan bersempena sambutan ulang tahun ketiga Sasuke Premium Outlet iaitu selaku penjual dan pengimport terbesar pakaian terpakai berjenama Jepun di negara ini.
Sasuke Premium Outlet adalah anak syarikat NCT Supply & Trading Sdn. Bhd. yang memulakan perniagaan pada 2016 menerusi empat cawangan di Lembah Klang termasuk Pandan Jaya, Danau Kota, Bandar Kajang, Bandar Baru Bangi dan Bandar Seri Permaisuri, Cheras.-UTUSAN ONLINE











