Geng Pamben aktif curi kenderaan model lama - Utusan Malaysia

Geng Pamben aktif curi kenderaan model lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA – Sindiket curi kenderaan yang mensasarkan kereta serta lori model lama sekitar daerah Ampang ditumpaskan selepas pihak polis menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Jumaat lalu.

Penangkapan tiga lelaki berusia 36 hingga 40 tahun yang dikenali sebagai Geng Pamben itu turut membongkarkan hasil jualan kenderaan curi tersebut digunakan untuk menyara keluarga serta membeli dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd. Zaid Hassan berkata, serbuan pertama dilakukan di kawasan Salak Selatan yang membawa kepada penangkapan dua lelaki termasuk dalang utama sindiket berkenaan manakala serbuan kedua pula, dibuat di sebuah rumah di kawasan Ampang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan mensasarkan kenderaan model lama tanpa sistem penggera yang di letakkan di kawasan perumahan tanpa pengawal dan tepi jalan.

Antara kereta yang menjadi sasaran sindiket kereta jenis Proton Saga, Iswara, Wira serta Waja.

Jelas beliau, komponen kenderaan itu akan dileraikan sebelum dijual kepada pembeli dan setiap sebuah kenderaan suspek akan memperolehi habuan kira-kira RM3,000 hingga RM5,000.

“Siasatan lanjut juga mendapati, sindiket itu aktif sejak Mac lalu, namun suspek utama berusia 39 tahun itu terlibat dalam kegiatan curi kenderaan sejak 2015 dan pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan tersebut.

“Dalam serbuan itu juga, polis merampas semula tujuh buah kereta serta lori yang dilaporkan hilang sekitar Ampang, Pandan   Indah serta Salak Selatan,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pandan Indah di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zaid, kesemua suspek yang ditahan itu merupakan penganggur dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Jelasnya, suspek utama mempunyai 24 rekod lampau manakala suspek berusia 40 tahun mempunyai 19 rekod lampau. Kedua-dua mereka juga dikehendaki.

“Suspek ketiga berusia 36 tahun pula, mempunyai 16 rekod lampau. Selain itu, hasil ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis syabu.

“Kesemua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini