SABAK BERNAM – Seorang ibu tunggal tidak menyangka bengkak yang dialaminya pada paha kiri sejak September tahun lalu adalah simptom awal kanser Sarcoma (tisu).
Rosilawati Sha’ari, 53, berkata, pengesahan penyakit itu diketahui susulan pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada bulan lalu.
Katanya, dia pada mulanya hanya menyangka bengkak dihadapi merupakan bengkak biasa sebelum terus membesar sehingga menyebabkannya demam selama dua minggu.
“Sebelum ini, saya bekerja di sebuah restoran makanan segera namun berhenti susulan pergerakan yang semakin terbatas dan lebih kerap terlantar.
“Mujur salah seorang anak yang baru tamat pengajian diploma membantu menguruskan saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ibu kepada tiga orang anak berusia 14 hingga 22 tahun itu memberitahu, dua daripada anaknya yang masih bersekolah memerlukan basikal untuk ke sekolah.
“Kedua-dua anak saya berjalan kaki sejauh 1 kilometer ke sekolah ketika ini.
“Bantuan setakat ini diperoleh daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menanggung kos rawatan dan sumbangan rakan serta jiran datang menziarah,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Rosilawati di talian 017-3371 208 /011-6235 5336 atau akaun Maybank miliknya bernombor 112035176120. – K! ONLINE











